Sunday, June 18, 2006

Majlis Tadarus Al-Quran; Suatu Sorotan

Assalamualaikum Warahmatullah,

Saya mengharapkan pengunjung memberikan sedikit pendapat serta cadangan yang membina berkenaan dengan idea ini. InsyaAllah saya mengimpikan aktiviti ini diluluskan oleh pihak Qiyadah serta Khadam MISG dalam mesyuarat yang akan datang.


PENGENALAN

Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) sememangnya tidak asing lagi di Malaysia. Lazimnya, MTQ yang diadakan di Malaysia selari dengan sambutan Maal Hijrah serta dilaksanakan hampir setiap tahun oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama beberapa jabatan kerajaan yang lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan sebagainya. medium_Quran_Monument_UAE_close.jpgAntara aktiviti yang diadakan sempena MTQ ini adalah pertandingan tilawah Al-Quran, hafazan Al-Quran, syarahan agama, tulisan khat serta nasyid.

MTQ dirasakan menjadi platform terbaik khususnya kepada para mahasiswa yang menuntut di US dan Canada ini dalam usaha menyampaikan risalah dakwah, mendekatkan diri dengan Al-Quran, menyemarakkan seni berunsur Islam, menyambung dan mengeratkan silaturrahim serta mengasah bakat yang terpendam.

Justeru, saya merasakan pihak Malaysian Islamic Study Group of US and Canada (MISG) menjadi organisasi yang paling ideal untuk merealisasikan program tersebut. Dengan segala kepakaran, pengaruh serta kemampuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh MISG, saya merasakan aktiviti ini mampu memberi impak yang besar, sama ada kepada para mahasiswa Malaysia atau kepada masyarakat sekitar, khususnya dalam usaha meneruskan dakwah.

Saya melihat aktiviti ini mampu membuka peluang yang besar kepada MISG untuk melangkah setapak ke hadapan. Melalui aktiviti MTQ ini, MISG membuktikan kemampuan untuk melahirkan pelajar yang bersahsiah, melalui penghayatan dan penekanan terhadap Al-Quran. Juga, saya merasakan inilah landasan terbaik bagi MISG meningkatkan produktiviti, sama ada melalui memperkasakan kerja berdakwah, menambah bilangan ahli MISG dan menyemarakkan aktiviti yang berunsur Islam.

Saya juga melihat bahawa pelaksanaan MTQ ini bakal memberi suatu ‘trademark’ atau tanda tersendiri bagi MISG. Dengan kata lain, MTQ akan menjadi sinonim dengan salah satu aktiviti MISG, dan MTQ menjadi aktiviti penuh, yang dijalankan sendiri oleh MISG.

Tidak dapat tidak, MTQ juga berupaya menjadi salah satu sumber untuk meningkatkan perbendaharaan dan ekonomi MISG Melalui bayaran penyertaan serta bayaran tanggungan (sponsor) daripada pihak luar, sedikit sebanyak mampu membantu meningkatkan ekonomi MISG.


CADANGAN PELAKSANAAN AKTIVITI

Pada peringkat awal, saya merasakan adalah wajar untuk MTQ diadakan selari dengan program Muktamar yang dijalankan saban tahun. Dengan kerjasama daripada pihak Indonesian Muslim Student Association (IMSA), saya menjangkakan program Muktamar akan bertambah meriah dan bakal menjadi suatu agenda yang besar. Saya mencadangkan setiap aktiviti MTQ diadakan di sebelah malam, sementara pada waktu siangnya diadakan aktiviti ceramah serta aktiviti Muktamar yang sudah sedia ada. Saya merasakan pihak IMSA sudi memberi kerjasama penuh kepada pihak MISG lantaran hubungan baik serta erat antara kedua-dua belah pihak dan saya melihat aktiviti yang dilakukan ini adalah untuk faedah bersama, sama ada untuk MISG atau IMSA.

Pada peringkat awal ini juga, saya mencadangkan aktiviti yang bakal dijalankan semasa MTQ itu nanti adalah seperti berikut:

1. Tilawah Al-Quran Bahagian Lelaki dan Perempuan

2. Hafazan Al-Quran Bahagian Lelaki dan Perempuanmedium_girl.jpg

3. Syarahan Agama Bahagian Lelaki dan Perempuan

4. Pertandingan Nasyid Antara Universiti (Lelaki sahaja)

5. Tulisan Khat

Saya juga ingin mencadangkan beberapa aktiviti yang diadakan bersempena dengan MTQ ini iaitu:

1. Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam

2. Pertandingan Menulis Sajak Berunsur Islam


STRATEGI PELAKSANAAN

Sekiranya kertas kerja ini diluluskan, suatu jawatankuasa MTQ perlu diwujudkan segera. Saya membayangkan jawatankuasa yang bakal melaksanakan MTQ ini lebih kurang sama dengan jawatankuasa Muktamar atau Summer Training Camp.medium_raihan.jpg

Jawantankuasa MTQ secara umumnya mempunyai pengerusi, serta beberapa buah biro di bawahnya, iaitu:

1. Biro Pengadilan & Kehakiman – Bertanggungjawab mencari siding hakim untuk mengadili
setiap pertandingan yang diadakan.

2. Biro Persiapan Pertandingan – Bertanggungjawab menyiapkan lokasi tempat pertandingan serta
menyelaras kelangsungan pertandingan yang diadakan.

3. Biro Promosi – Bertanggungjawab mempromosi MTQ

4. Biro Tugas-Tugas Khas – Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan MTQ
seperti persiapan hadiah, dan lain-lain.

Dari aspek kewangan, saya mencadangkan agar MTQ digerakkan:

1. Melalui bayaran penyertaan

2. Melalui tajaan daripada mana-mana pihak

3. Perbendaharaan MISG dan HELWA


RASIONAL DIADAKAN SEMPENA PROGRAM MUKTAMAR

Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, mengapakah diadakan MTQ ini ketika program Muktamar?

Pada pendapat saya, inilah peluang yang terbaik untuk MISG meningkatkan kegiatan dakwah MISG, selain memeriahkan kedatangan ke Muktamar. Inilah juga peluang yang terbaik untuk MISG menyebarkan informasi berkenaan dengan fungsi, matlamat dan halatuju yang mahu digapai oleh MISG. Juga, saya melihat bahawa aktiviti ini akan membuka mata, minat, kemahuan dan keinginan kepada para mahasiswa yang mungkin sebelum ini tidak tahu wujudnya MISG. Saya juga menjangkakan mahasiswa yang baru tiba sebagai pelajar tahun pertama di US mahupun di Canada mampu mengenali MISG dengan lebih dekat. Tambahan pula, seperti apa yang kita semua sedia maklum, Muktamar biasanya diadakan pada waktu Winter Break.

Justeru, adalah releven diadakan MTQ ini pada waktu tersebut lantaran saya menyimpulkan bahawa itulah masa yang paling strategik dan sesuai bagi pihak MISG, IMSA dan keseluruhannya.


KESIMPULAN

Saya amat mengharapkan agar cadangan untuk mengadakan MTQ antara universiti-universiti di US dan Canada ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak syura dan qiyadah. Yakin dan percayalah, bahawa segala apa yang dicadangkan ini adalah dengan niat dan keinginan untuk merancakkan perjalanan dakwah serta membantu untuk melahirkan mahasiswa muslim yang berjaya. Saya berdoa semoga cadangan saya ini diterima, lantas memberi peluang kepada MISG untuk merangka startegi yang lebih jauh, mampan dan berkesan berkaitan dengan aktiviti MTQ ini.

Saya mengalu-alukan cadangan, kritikan atau pandangan daripada mana-mana pihak untuk kebaikan bersama.

Selawat dan salam atas Rasul junjungan.

Salam hormat, Jun 7, 2006

Khairul Amar Razali,
Vanderbilt University,
VU Station B 353607,
2301 Vanderbilt Place,
Nashville, TN 37235-3607
Email: amar.razali@gmail.com
http://www.misgonline.com

The comments are closed.