Wednesday, June 21, 2006
Sebuah Catatan Pengalaman Perjalanan (Siri 1)
Assalamualaikum Warahmatullah,
Segala puji-pujian buat kekuasaan Allah swt yang tidak terhingga, selawat dan salawat buat Rasul Junjungan.
Alhamdulillah, akhirnya selamat sampai diri ini kembali ke Vanderbilt University setelah hampir 16 hari keluar bercuti ke UK. Syukur yang tidak terhingga, lantaran pelbagai pengalaman menarik telah dikutip sepanjang berada di sana. Tentunya, bukan sekelumit cabaran dan dugaan yang dihadapi untuk sampai ke tempat yang ditujui. Suka, duka, kelakar, sedih, segalanya bercampur baur sepanjang tempoh 16 hari perjalanan. InsyaAllah jika berkesempatan ingin dikongsi bersama.
4 Jun 2006
Pada hari pertama, ketika saya sudah pun berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville, saya sempat mengeluarkan sedikit wang untuk perbelanjaan semasa perjalanan. Namun, ketika melihat baki wang yang tinggal dalam akaun semasa saya, "Ya Allah, dah jadi negatif?". Mengucap panjang saya di sisi mesin pengeluar wang. Senyap tak terkata. Subhanallah, baru beberapa hari yang lepas, baki wang saya masih berdigit 4. Juga, semalam saya baru sahaja memasukkan sejumlah wang. Namun, tak sampai seminggu, tiba-tiba bertukar menjadi negatif? Saya mula menjadi tidak senang duduk. Resah. Gelisah. Rakan-rakan turut tumpang bimbang.
Namun, berat mata memandang, berat lagilah bahu memikul. Saya tidak keruan. Rasanya tak mahu meneruskan perjalanan. Kalau diikutkan logik, sudah tiada wang dalam akaun mahu lagi pergi berjalan? Apakah sudah gila saya ini? Saya sangat bimbang. Apa yang telah terjadi sehingga menjadi negatif baki akaun saya? Ya Allah, bimbangnya saya hanya Allah yang tahu.
Pada saat kesusahan itu, datang Hasan berbisik ke telinga, ayat Al-Quran yang menenangkan hati ini kembali.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." - Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Saya beritahu Hasan, sekiranya dia ulangi lagi ayat tersebut di telinga saya, saya pasti akan menangis, sedih, lantaran tidak mampu menghadapi dengan tabah saat yang sukar ini.
Di kala itu jua, datanglah Mus'ab, menawarkan sejumlah wangnya kepada saya. Ya Allah, saya benar-benar rasa berat untuk menerima wang tersebut. Namun, Mus'ab seperti memaksa. Saya tahu, maksud Mus'ab bukanlah paksaan, namun lebih kepada bimbangkan keadaan saya ketika di dalam perjalanan yang masih panjang.
Perjalanan mesti diteruskan.
Dengan langkah yang berat, saya meninggalkan rakan-rakan di ruangan berlepas. Setia bersama saya ketika itu tentulah Hubab dan Baba. Mereka turut berjanji akan membantu saya sedaya yang mungkin sekiranya saya berada dalam kesukaran.
Terima kasih rakan-rakan.
Kami bertiga perlu segera bergerak ke pintu berlepas. Ketika itu, kami sudah terlewat benar. Lantaran pemeriksaan Imigresen US yang begitu leceh dan rapi, kami cuma mempunyai kira-kira 5 minit untuk memasuki pesawat. Ya Allah, berikanlah kesempatan kepada kami!
Kami bertiga berlari seperti pusingan akhir Olimpik ketika selesai pemeriksaan imigresen. Kami berlari selaju yang mampu. Ramai memandang pelik, jelek. Namun, apa kami peduli. Pesawat perlu dinaiki secepat mungkin. Pintu berlepas sudah tertutup ketika kami sampai di tempatnya.
Subhanallah!
Syukurlah, para pegawai yang bertugas masih berperikemanusiaan untuk membenarkan kami menaiki pesawat. Kami ditahan hampir 10 minit oleh pihak keselamatan di Pintu Berlepas dan ditanya pelbagai soalan yang membosankan. Mungkin dia tidak pernah bertemu orang-orang Melayu seperti kami. Disoal siasatnya kami seperti pendatang tanpa izin. Saya tidak banyak bercakap pada masa itu. Apa yang berada di dalam kepala saya ketika itu hanyalah untuk berada di dalam pesawat.
Alhamdulillah, kami bertiga sempat menaiki pesawat seperti yang dijadualkan. Dengan nafas tercungap-cungap, kami memasuki pesawat dengan semua penumpang memandang ke arah kami. Nafas kami masih putus-putus ketika duduk di perut pesawat. Alhamdulillah. Segalanya dirasakan bakal berjalan lancar.
Namun, panas diharap sampai ke petang, tiba-tiba ribut petir di tengahari.
Jadual penerbangan dari Nashville ke Toronto sepatutnya berlepas pada pukul 6 petang. Namun, disebabkan masalah teknikal, pesawat wajar dibaiki. Justeru, semua penumpang diminta meninggalkan pesawat dan si pramugari berjanji dalam masa 15 minit segala kesulitan bakal berakhir.
Dari 15 minit, berinjak ke setengah jam. Dari setengah jam, bertukar ke 1 jam setengah. Jam telah menunjukkan pukul 9 malam taktala pegawai bertugas memaklumkan bahawa penerbangan dibatalkan dan akan diganti pada awal hari esok. Sekali lagi keimanan diuji.
Kekecewaan tidak dapat digambarkan lagi. Penerbangan yang diganti itu akan memakan masa yang lebih lama untuk sampai ke Heathrow, London. Juga akan melibatkan lebih banyak transit. Dari Nashville, kami perlu transit di Washington-Dulles terlebih dahulu. Kemudian, dari Washington-Dulles, kami perlu transit di Montreal, Canada. Dari Montreal, barulah kami akan sampai ke Heathrow.
Pesawat dijadualkan berlepas pada jam 6 pagi keesokkan harinya. Tiada pilihan. Perlu pulang ke Lewis untuk tidur dan berehat. Kami menelefon Mus'ab dan memintanya untuk mengambil kami di airport.
Ketika dalam perjalanan pulang, saya tidak bercakap banyak. Dalam kepala saya masih berfikir berkenaan dengan duit dalam simpanan yang sudah tinggal negatif itu. Juga masalah lain seperti ketiadaan borang I-20 bersama.
Sampai di Serambi Mekah 0908, ada sambutan meriah rupanya. Namun, bukan menyambut kepulangan kami, tetapi menyambut hari jadi Amir yang ke 18.
Selamat Hari Jadi Sahabat Serumahku!
Sebenarnya, sebelum saya berangkat pergi, tengahari itu budak-budak lelaki telah mengadakan sedikit makan-makan untuk meraikan ulang tahun kelahirannya. Jadi, saya tidak meraikan sangat sambutan pada sebelah malam. Sampai ke rumah, terus masuk ke dalam bilik. Saya belek semua akaun simpanan saya. Saya semak kembali, berfikir dengan lebih tenang dan rasional, serta mencari sebab mengapa sampai begitu sekali jumlah duit saya merudum jatuh.
Setelah hampir sejam menyelidik, MasyaAllah, barulah saya ketemu sebabnya. Allah, pelupanya hambaMU ini. Rupanya, saya terlupa, ada beberapa perkara yang memerlukan duit, yang sepatutnya dikongsi bersama rakan-rakan yang lain, tetapi saya yang bayarkan dahulu. Mereka semua sememangnya sudah membayar hutang mereka, dan saya juga sudah memasukkan duit itu ke dalam bank semalam. Mungkin masih tidak dikemas kini data di bank. Namun, saya percaya, apabila muncul sinar mentari esoknya, kewangan saya akan kembali stabil. Syukur Alhamdulillah.
5 Jun 2006
Seawal jam 5 pagi, saya, Hubab dan Baba sudah bersiap-siap untuk berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville buat kali kedua. Kali ini, saya berharap semoga tiada lagi kesulitan selepas ini. Alhamdulillah, pagi itu segalanya berjalan lancar. Kami selamat berlepas ke Washington-Dulles pada jam 6 pagi.
Tinggallah Nashville. Tinggallah Vanderbilt.
Perjalan ke Washington-Dulles memakan masa selama hampir 3 jam. Tiba di Washington-Dulles sekitar jam 10 pagi. Kami tak banyak membuang masa. Terus ke pintu pelepasan seterusnya untuk ke Montreal. Alhamdulillah, untuk ke Montreal, tiada masalah yang kami hadapi. Segalanya berjalan lancar. Perjalanan dari Washington-Dulles ke Montreal memakan masa hampir 1 jam setengah. Kami berharap agar dapat selamat tiba ke Heathrow secepat yang mungkin kerana kami sudah terlewat sehari seperti yang dirancangkan.
Sampai ke Montreal, cabaran sebenar bermula!
Ketika sampai di Montreal, kami langsung tidak menduga sebarang masalah bakal menjelma. Kepada rakan-rakan yang mahu bertransit di Canada, sila ambil iktibar dengan kisah yang baka diceritakan. Kami bertiga hanya mahu bertransit di Montreal Airport untuk kira-kira 3 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Heathrow, London. Kami langsung tidak menduga bahawa perlunya VISA untuk bertransit di sana. Kami ditahan oleh pihak imigresen Canada. Kami tidak boleh meneruskan perjalanan ke Heathrow kerana kami tidak boleh menjejakkan kaki di bumi Canada lantaran ketiadaan visa tersebut.
Rasa seperti mahu menyumpah! Sungguh!
Dan agensi pelancongan bahlul yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan kami tidak pernah sesekali mengingatkan kami untuk membuat transit visa ketika bertransit di negara Canada. Sepanjang pengalaman saya menaiki pesawat antarabangsa, ketika bertransit, tidak pernah dibuat orang untuk mempunyai visa. Cuba fikir secara logik, anda cuma mahu berada di lapangan terbang tersebut hanya untuk kira-kira 2 jam sebelum meneruskan perjalanan anda ke destinasi ditujui. Adakah logik untuk hanya berada di lapangan terbang, untuk waktu yang teramat singkat, untuk mempunyai visa yang urusan membuatnya memakan masa hampir setengah hari?
Ingat aku lapar sangat ke nak datang Canada?
Kami bertiga sedaya upaya menunjukkan pelbagai jenis dokumen sebagai ganti visa kami. Namun, pegawai imigresen ala nazi itu menafikan segalanya. Mereka tetap mahukan Transit Visa. Jika tidak, kami perlu dihantar balik ke Washington-Dulles, US.
Mungkin kasihan melihat kami semua yang berusaha benar mencari dokumen lain sebagai pengganti Transit Visa itu, mereka akhirnya mengenakan satu syarat. Mereka mahukan borang I-20 sebagai ganti.
Dan saat itulah jantung saya dirasakan seperti meletup.
Saya mana bawa borang I-20. Borang I-20 saya masih berada di Vanderbilt. Di dalam bilik Doc V, iaitu penasihat akademik saya di Vanderbilt. Masih belum ditandatangani oleh pegawai bertugas. Borang I-20 itu hanya diperlukan untuk masuk kembali ke US. Apa kesnya mahu borang I-20 semasa di Canada? Doc V sudah memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan mengepos dokumen I-20 itu ke alamat rumah kakak Hubab di Manchester. Justeru, saya akan tidak mempunyai masalah untuk memasuki US kembali nanti.
Akan tetapi, sekarang ceritanya sudah menjadi lain. Borang I-20 diperlukan pada saat itu sebagai ganti Transit Visa di Canada. Ya Allah! Hanya Allah yang tahu, betapa lagi tidak keruannya saya pada saat itu. Baba dan Hubab mempunyai borang I-20 itu. Hanya saya yang tidak mempunyainya. Saya cuba membujuk pegawai imigresen untuk menerima salinan faks I-20 itu daripada Doc V. Namun, mereka mengatakan mereka mahukan salinan asal. Jika tidak, saya tidak punya pilihan lain melainkan, "Berambus pulang kau ke Washington-Dulles!"
Hubab dan Baba tampak begitu kecewa dengan tindakan pegawai imigresen yang tidak boleh lagi bertolak ansur dengan hal saya itu. Saya lagilah, bukan setakat kecewa, bahkan marah, sedih, geram. Segalanya bermain di minda. Hanya itu pilihan yang saya ada. Pulang kembali ke Washington-Dulles. Hanya itu pilhan yang saya ada.
Dihalau Balik
Hubab dan Baba sudah tidak berdaya menolong. Mereka sukar mahu meneruskan perjalanan ke Heathrow tanpa saya bersama. Saya ini, lagilah, mahu pulang kembali ke Washington-Dulles, tidak tahu apa yang menanti saya di sana. Saya tak tahu siapa yang mahu dihubungi, di mana mahu tidur, makan dan sebagainya. Semasa itu, saya berharap semoga segala dugaan ini menjadi penghapus segala dosa-dosa yang telah saya lakukan.
Setelah merasakan segalanya bakal berpisah, saya mengukir senyuman yang paling manis buat Hubab dan Baba. Saya akui, mereka juga turut berasa bimbang dengan nasib saya di sana nanti. Pasti perjalanan menjadi kurang seronok apabila kami tidak lagi bertiga. Mahu tidak mahu, kami terpaksa menghadapi segalanya. Saya jabat tangan Baba, dan berbisik kepadanya bahawa saya berjanji yang kita akan berjumpa juga. Saya katakan kepada Hubab jangan bimbangkan nasib saya, saya tahu menjaga diri.
Selepas itu, saya dipisahkan dengan Hubab dan Baba, dan dibawa ke tempat untuk menguruskan perjalanan pulang ke Washington-Dulles. Dalam perjalanan menguruskan dokumen-dokumen yang perlu dibawa pulang, saya hanya mampu berfikir dan berzikir, apakah yang perlu saya lakukan selepas ini. Apa yang perlu saya lakukan setelah tiba semula di Washington-Dulles?
Teringat lawak saya kepada Baba, "Kalau aku tersangkut di Washington-Dulles, aku buat Islamic Center je la kat airport," Haha. InsyaAllah, saya berdoa semoga tiada kesulitan apabila di Washington-Dulles nanti. Saya rasa badan saya ketika itu sangat lemah dan kurang bermaya. Bayangkan terpaksa berhadapan dengan kerenah imigresen selama hampir 5 jam, dan ditambah dengan 3 penerbangan yang perlu saya naiki. Saya teringat wajah mama dan papa. Kalau saya beritahu keadaan saya di sini, pastinya mereka akan menjadi tersangat-sangat bimbang. Saya berjanji pada diri sendiri bahawa akan cuba yang terbaik untuk memastikan segalanya akan berjalan lancar.
Pukul 6 petang, pesawat Air Canada membawa saya pulang dari Montreal ke Washington-Dulles. Terima kasih Imigresen Canada di Montreal kerana membenarkan saya untuk berada di Lapangan Terbang Montreal walaupun hanya untuk seketika.
Saya sembat bersembang dengan pegawai imigresen yang menguruskan perjalanan saya.
"This is my first time coming to Canada," Saya memulakan bicara.
"Yes, and I am sure this will not give a good experience to you," Pegawai imigresen wanita itu membalas.
"Haha. That's true. What can I say? I have to make sure that I bring enough documents when I come back to Canada soon,"
"Yes. I am hoping to see you soon in Montreal with the Transit Visa,"
"By the way, what is the main language for people in Canada? I heard and see some strange language talked by people around here,"
"Oo, many people in Canada talk in French. They also can talk in English. But French is the main language among Canadian,"
Saya mahu membelanjanya makan Burger King. Bukan apa, dia hanya mengekori saya sepanjang saya menanti pesawat. Saya sangat lapar ketika itu. Tidak sanggup rasanya mahu makan seorang diri. Justeru, saya belikan satu burger ayam, dan fries kepadanya. Saya tawarkan kepadanya makanan yang saya beli itu, tetapi dia sopan menolaknya.
"I cannot eat with you. I will violate the procedures."
"You can give it to your friends in the office, though. I already bought these for you."
"Nevermind, you can eat that in your flight."
Saya tidak makan ayam. Tidak mengapalah. Kalau dia sudah menolak, saya pun tidak makan burger ayam, nak tak nak, saya buang sahaja burger ayam itu.
Pada awalnya, pegawai imigresen yang bertugas menjaga saya itu tampak garang, namun pada saat-saat saya mahu meninggalkan Montreal, dia menjadi begitu peramah, lembut dan banyak membantu. Sekurang-kurang membantu saya untuk kembali ke Washington-Dulles.
Selamat Tinggal Montreal!
16:35 Posted in Journey | Permalink | Comments (1) | Email this


Comments
huhuhu sedihnguh arr kalu bacer citer amar nih huhhu mcm citer novel plok ... tp pengalaman berharga yg x mungkin dpt dilupakan hehe all da best
Posted by: sha filan | Friday, June 23, 2006
The comments are closed.