Tuesday, June 27, 2006

Sebuah Catatan Pengalaman Perjalanan (Siri 3)

Assalamualaikum Warahmatullah,

InsyaAllah akan dikongsi pengalaman perjalanan setakat mana yang saya mampu.

Selamat Pagi Washington DC!

Awal saya bangun pada pagi itu. Sekitar jam 4 pagi. Ketika itu rakan American saya itu sedang bersembang-sembang dengan seseorang yang tidak saya kenali. Saya lihat sekeliling, masih lagi sunyi, sepi. Kaunter tiket penerbangan sudah mula beroperasi, cuma pelanggan sahaja yang masih lagi kurang. Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington-Dulles masih lagi lengang.

Saya mula mencapai beg galas serta beg sorong lantas menuju ke tandas. Saya gosok gigi, basuh muka dan ambil wudhu. Terasa sakit sedikit pada bahagian leher. Mungkin tersalah tidur tadi? Saya teringat pada jam sekitar 3 pagi saya terbangun kerana terlalu sejuk!

Sangat sejuk sehingga saya terketa-ketar! Saya hanya mengerekot seperti ulat gonggok untuk memanaskan badan. Mungkin kerana terlalu mengantuk, saya berjaya juga melelapkan mata.

Setelah selesai solat Subuh, kedengaran perut berkeroncong. Ya Allah, dari semalam perut tidak diisi. Saya melilau di sekitar lapangan terbang untuk mencari mana-mana kedai makanan segera yang sudah memulakan operasi pada awal-awal pagi itu. Ada sebuah kedai makanan segera semacam Starbucks yang sudah beroperasi, namun tiada pilihan ikan mahupun tuna. Saya pun mengambil keputusan untuk hanya makan biskut Oreo yang dibeli dari sebuah kedai berhampiran.

Lebih jimat. Lebih enak. Bijak, bijak!

Waktu masih menunjukkan jam 6 pagi ketika saya keluar ke Perhentian Bas di luar Lapangan Terbang. Pukul 6 pagi di Washington sudah semacam cerah. Saya tanya kepada pekerja-pekerja di sekitar lapangan terbang bagaimanakah caranya untuk ke pusat bandar metropolitan DC itu.

Seingat saya, saya perlu mengambil bas bernombor 5A, terus ke sebuah stesen bas dipinggir bandar. Sampai di sana, saya perlu menggunakan bas yang lain, atau kereta api bawah tanah untuk ke destinasi seterusnya.

Menarik!

Sementara menunggu, saya sempat berfikir keadaan diri saya pada ketika itu. Ya Allah, betapa lemahnya diri ini. Saya sempat merasai sendiri bagaimanakah rasanya menjadi seorang 'homeless' untuk 1 malam. Sempat merasai bagaimanakah rasanya jika berada seorang diri, di tempat yang sangat asing, tanpa tiada pasti ke manakah mahu ditujui.

Semuanya pengalaman! Semuanya cabaran!

Saya terbayang dalam minda pemikiran, pastinya Hubab dan Baba sudah selamat sampai di Heathrow, London. Dan pasti jua mereka bakal tiba ke Manchester pada hari itu juga. Mungkin mereka boleh bersiap-siap untuk ke Germany dengan lebih awal.

Ah, ketepikan seketika igaun-igaun itu.

Saya fokuskan fikiran, ke mana mahu dilangkah selepas ini. Seorang pekerja disitu memberitahu bas pertama akan tiba pada jam 630 pagi. Benar. Tepat jam 630 pagi, sebuah bas berlabel 5A tiba di perhentian bas tersebut. Bersegera saya menaiki bas tersebut.

MasyaAllah, tambang bas?

Saya seluk poket, buka dompet. Hanya ada not 20. Alhamdulillah. Sekurang-kurangya ada wang untuk dibayar. Saya berdiri di barisan yang paling belakang. Tiba giliran saya, saya cuba masukkan not 20 itu, tetapi tidak berjaya. Ya Allah, saya cuba tekan ke dalam sikit agar diterima duit itu, tetapi mesin sedut wang kertas itu tetap tak mahu menerimanya.

"You don't have to pay," tiba-tiba si pemandu itu memberitahu saya.

"I am sorry?"

"Yes. You don't have to pay. Come in," si pemandu tampak begitu bersungguh-sungguh untuk tidak meminta bayaran.

Alhamdulillah. Rezeki pada pagi hari. Syukurlah. Saya tersenyum sendirian.

Bantuan Allah sudah tiba!

Sepanjang perjalanan menuju ke perhentian bas di pinggi bandar, saya banyak melihat keadaan sekitar. Indah DC pada pagi itu. Mula kelihatan manusia keluar mencari rezeki. Ramai. Berpusu-pusu ke sana ke mari. Saya juga menyimpan keinginan untuk bekerja di sini suatu hari nanti, insyaAllah.

Sungguh sibuk pada pagi itu. Saya menjangkakan suasana di tempat yang akan saya tujui itu nanti semakin sibuk.

Benar, setelah hampir 30 minit berada di dalam bas, akhirnya saya tiba di tempat yang dituju. Tempat tersebut bukan hanya menjadi perhentian bas, rupa-rupanya turut menjadi perhentian kereta api bawah tanah! Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki di situ, saya betul-betul tidak tahu hendak ke mana. Nak naik bas nombor berapa? Kedutaan Canada perlu dituju di jalan yang mana?

Ada mulut, bertanyalah!

Justeru, saya cari tempat kaunter pertanyaan. Ada pakcik 'Pak Itam' bertugas di situ.

Saya sangat suka bergaul dengan orang-orang 'Pak Itam'. Mereka sangat peramah, lawak, dan tak banyak kerenah. Mereka juga jenis selamba. Senang diajak berbicara. Suka membuat kelakar. Apabila kedengaran lagu nyanyian pop, rap yang kebanyakan dinyanyikan oleh 'Pak Itam' sendiri, mereka akan 'bounce'. Hehe. Saya sangat suka melihat aksi mereka 'bounce'. Sean kawan saya semasa di kelas fotografi dulu sering mengajar saya cara untuk bounce.

Berbalik kepada pertemuan saya dengan 'Pak Itam' yang menjaga di kaunter pertanyaan tersebut. Orangnya mungkin 40-50 an. Sungguh tinggi dan agak gempal.

"Do you know the direction to Canadian Embassy, sir?"

"Canadian Embassy? Let me show you," dia kemudiannya menceritakan kepada saya cara untuk ke sana. Mula-mula saya perlu mengambil kereta api bawah tanah, terus ke suatu tempat di tengah-tengah bandaraya DC. Kemudian saya perlu mengambil sebuah kereta api lagi untuk terus ke destinasi. Kemudian saya perlu berjalan kaki, tetapi tidaklah terlalu jauh untuk ke Kedutaan Canada.

Dia kemudiannya menunjukkan cara membeli tiket kereta api kepada saya. Dia juga memberitahu saya bahawa dia sudahpun menghubungi rakannya di stesen kereta api seterusnya untuk memastikan saya sampai ke tempat yang ditujui.

Selepas mengucapkan terima kasih kepadanya atas segala bantun yang diberikan, saya kemudiannya meneruskan langkah perjalanan ke tempat yang seharusnya saya tujui. Saya harap segala urusan untuk mendapatkan Transit Visa akan berjalan dengan lancar dan saya berharap dapat berlepas ke destinasi akhir iaitu ke Heathrow pada hari ini juga.

Saya sungguh bersemangat untuk menguruskan Transit Visa saya pada hari itu. Saya berharap sangat dapat meneruskan perjalanan saya ke Heathrow pada hari ini juga.

Inilah kali pertama saya menaiki kereta api bawah tanah. Underground Transportation. Sangat seronok! Suatu pengalaman baru dalam hidup saya! Melihatkan begitu ramai manusia berpusu-pusu ke sana ke mari, berkejar dan berlumba dengan masa memberi suatu pandangan baru yang sangat bermakna dalam hidup saya. Suasana orang dewasa keluar bekerja mencari rezeki. Ah, tidak sabar untuk saya mengalami sendiri saat-saat itu!

Alhamdulillah, akhirnya, kira-kira 45 minit selepas itu saya berjaya tiba diperhentian terakhir untuk sampai ke tempat yang dituju. Perhentian kereta api yang terakhir terletak ditengah-tengah bandaraya besar DC. Sampai sahaja di sana, saya sempat berjumpa dengan rakan 'Pak Itam' yang maksudkan itu. Dia membantu saya menunjukkan jalan yang perlu saya lalui untuk tiba di Kedutaan Canada. Tidak jauh.

Dengan langkah penuh semangat dan padu, saya bergerak menuju ke Kedutaan Canada. Lapar di perut tidak saya pedulikan. Urusan Transit Visa itu perlu diselesaikan segera!

Tiba di hadapan Kedutaan Canada pada jam 8 pagi. Pejabat hanya dibuka pada jam 9 pagi. Masih awal. Saya mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekeliling bangunan Kedutaan Canada yang besar itu. Ada beberapa patung hasil luksian karyawan terkenal di dalam kolam. Saya sempat mengambil gambar di tempat tersebut. Saya juga menyedari ada notis yang menyatakan waktu berurusan hal visa bermula pada jam 9 hingga 12.

Pukul 9. Sebaik sahaja saya kembali di hadapan Pejabat Kedutaan Canada, wah, ramai sungguh sudah berbaris! Saya tidak tahu apa dokumen yang diperlukan untuk membuat Transit Visa. Saya hanya tawakkal. Tak tahu apa yang perlu saya bawa. Saya hanya bawa semua dokumen yang ada di dalam beg galas saya.

Alhamdulillah, tiada apa yang menyusahkan ketika dalam proses untuk memasuki bangunan kedutaan melainkan pemeriksaan yang seperti biasa melecehkan. Saya kemudiannya menunggu giliran untuk berhadapan dengan pegawai yang bertugas. Saya sangat optimis untuk mendapatkan Transit Visa saya pada hari ini.

Selepas kira-kira 15 minit menunuggu giliran, alhamdulillah akhirnya tiba giliran saya. Berdebar-debar.

Teringat pesanan mama;

"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka ; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)." - Surah Yaasin, 9.

Mama selalu berpesan untuk membaca ayat ini apabila berhadapan dengan orang-orang yang tinggi. Moga-moga dibuka hati mereka untuk belas kasihan.

Seorang pegawai wanita, berwajah agak garang, dan mungkin malas bercakap banyak menunggu.

"I would like to apply for the Transit Visa," saya memulakan bicara.

"Can I have your passport, the application form and also 2 of your passport pictures please,' dia membalas.

Alamak! Gambar pasport? Mana saya nak cari? Allah! Saya seluk poket, buka dompet, cuma ada sekeping je? Mula gelabah. Pegawai yang bertugas mulai bosan.

"You must have 2 passport pictures and both of them must be the same, next person in the line please!"

Aduh! Manalah sekeping lagi gambar pasport saya ni? Ya Allah..

Tiba-tiba saya teringat, dalam file saya! Mungkin ada lagi gambar-gambar pasport saya? Cepat-cepat saya membuka file saya untuk mencari gambar pasport saya. Alhamdulillah! Ada! Terus sahaja saya ke kaunter untuk memberikan sekeping lagi gambar saya itu.

Alhamdulillah.

Selepas itu, saya perlu menunggu lagi untuk menjumpa pegawai yang lain, peringkat akhir untuk mendapatkan Transit Visa saya. Tak sabar rasanya untuk menghabiskan urusan ini. Terbayang di dalam minda untuk menaiki penerbangan menuju ke Heathrow, memalui Canada sekali lagi tanpa perlu bimbang akan sebarang masalah dihalau balik.

Syukur, tiba giliran saya!

Saya sangat terasa hati dengan pegawai ini. Sungguh! Kongsi bersama saya apa yang telah berlaku.

Seorang wanita, berumur mungkin separuh abad, berkaca mata, menunggu saya, di sebalik cermin yang bersih jernih.

"Hello, good morning ma'am. I would like to apply for my Transit Visa," dengan sepenuh lembut saya bersuara kepadanya.

"Can I see your passport and also your ticket information?" tanya pegawai tersebut tanpa menjawab salam pertemuan saya, dengan wajah yang langsung tidak tersenyum dan sedikit meninggikan suara.

Sombong wanita ini. Detik hati kecil saya.

"Yes, sure ma'am. Actually I already been to Montreal yesterday on my way to Heathrow, London. But the immigrations sent me back here in Washington-Dulles because I did not have the Transit Visa," saya memulakan cerita.

Dia diam. Tiada sebarang tindak balas. Senyum pun tidak.

"Can I see your I-20 form?"

MasyaAllah, saat ini saya mula tidak keruan.

Saya ceritakan kepadanya bahawa saya tidak punyai salinan asal I-20 form kerana sekian, sekian, sekian. Saya juga bertanya apakah halnya mahu I-20 form untuk membuat Transit Visa?

Tidak relevan!

Namun, dia langsung tidak berminat untuk mendengar bebelan saya itu. Dia langsung tidak memberi perhatian.

"I said I want to see your I-20 form!"

"Ok then," saya memberi salinan faks I-20 form kepadanya. Ikutlah, nak sangat I-20 form. Salinan pun salinanlah. Dalam hati, saya rasa seperti ingin menyumpah, apa hal dia mahu I-20 form saya? I-20 form hanya diperlukan untuk memasuki US. Apa kaitannya dengan proses membuat Transit Visa ini?

"Where's your ticket?"

Ini satu lagi soalan yang langsung tidak masuk akal. Pegawai Air Canada memberitahu saya bahawa saya perlu membuat Transit Visa terlebih dahulu, kemudian barulah saya boleh membuat tiket penerbangan. Saya beritahulah kepadanya tentang apa yang telah dikatakan oleh pegawai Air Canada itu.

"NO! I cannot process your Transit Visa if you don't have your ticket! Get your ticket first!"

Saya merayu-rayu kepadanya bahawa saya berharap benar dapat ke Heathrow pada hari ini juga, selain keadaan diri saya yang keseorangan di sini. Saya katakan kepadanya, jika dia benar-benar mahu saya mendapatkan tiket pada hari ini juga, saya perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Washington-Dulles semula dan pastinya saya tidak sempat untuk mendapatkan Transit Visa saya pada hari ini.

"Ah, apa aku peduli!" mungkin begitu detik hatinya lantaran langsung tiada rasa belas ehsan atas nasib diri saya. Saya hanya mahu singgah bertransit di Canada tak sampai sehari. Saya bukan mahu pergi sangat ke Canada tu, saya cuma mahu singgah bertransit!

Dengan suara yang tinggi, reaksi muka yang sangat-sangat menyakitkan hati saya, dia seolah-olah menghalau saya pergi. Saya putus asa.

"I will try to make it by 12 today," lemah suara saya memberitahunya.

"Ok," ringkas jawapannya.

Ya Allah! Saya benar-benar putus asa! Semua mata yang berada di dalam ruangan membuat visa di Kedutaan Canada itu memandang ke arah saya. Sungguh saya putus asa. Longlai langkah saya keluar daripada bangunan tersebut.

Buntu! Sungguh buntu. Sekarang jam sudah menunjukkan jam 11 lebih. Saya memang tak sempat untuk mengejar jam untuk tiba kembali ke sini pada jam 12. Saya mengambil keputusan untuk menghubungi Air Canada terlebih dahulu. Saya katakan kepadanya bahawa saya ingin mengubah tiket perjalanan. Namun, jawapan daripada pihak Air Canada sangat-sangat menyedihkan saya. Pihak Air Canada mengatakan tidak boleh berbuat apa-apa lantaran semua tiket yang saya tempah dibawah seliaan agensi pelancongan yang sudah banyak menyusahkan saya itu. Pihak Air Canada memberikan nombor telefon pejabat agensi itu kepada saya.

Saya ingat namanya. Roman. Si pegawai yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan ini. Saya tidak pernah menghubunginya sebelum ini lantaran sebelumnya diuruskan oleh Hubab. Dan hari ini saya ingin meluahkan kekesalan saya kepadanya.

Dan untuk menghubunginya Ya Allah seolah-olah telefon untuk diangkat berbatu-batu jauhnya. Lambat sangat! Hampir 15 minit saya menunggu, baru ada yang menjawab panggilan.

Dan Roman itulah yang menjawab panggilan saya.

Saya apa lagi, terus, terhambur segala isi hati saya. Kesedihan, kekesalan dan kemarahan saya. Jawapan yang diberikan oleh Roman, seolah-olah kalaulah dia berada di hadapan saya, memang mahu makan penyepak! Dia kata dia tidak dapat berbuat apa-apa?

Jawapan yang langsung tidak masuk kepala otak lembu!

Dia pun memberi alasan yang ada pegawai lain yang boleh membantu saya. Tetapi orangya masih belum sampai ke pejabat. Dia katakan pegawai yang bertanggungjawab akan tiba kira-kira 2 jam lagi. Wah! Seolah-olah rumah di pedalaman Kuala Berang, pejabat di Sura, Dungun.

Ya Allah. Longlai. Sangat-sangat longlai, lemah saya ketika itu. Hampir sahaja menitis air mata jantan. Saya tahan. Sabar.

Mengaku Kalah!

Hancur lebur harapan dan impian saya untuk meneruskan perjalanan saya ke Heathrow pada hari ini. Ya Allah, lemahnya aku. Lemahnya aku.

Saya tidak tahu ke mana perlu saya tujui selepas ini. Jam menunjukkan pukul 11 lebih. Mentari galak memancarkan sinar. Saya cuba bersabar seboleh-bolehnya. Saya sorong beg, galas satu lagi di bahu, merayau-rayau di Kota Besar DC tanpa sebarang hala tuju.

Perut lapar. Badan berbau. Transit Visa tak dapat. Tak tahu hala tuju. Tak ada arah. Apa yang kamu ada Amar?

Aku punyai DIA! Sabar sahajalah.

Saya merayau-rayau, menikmati keindahan DC sepenuh-penuhnya. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini. Saya nikmati keunikan bandaraya gergasi DC. Menangkan kembali pemikiran saya yang amat-amat kusut. Saya berjalan-jalan. Sempat juga saya melalu beberapa bangunan yang cantik, menarik, unik di DC ini. Suatu pengalaman menarik bagi diri ini.

Fikir punya fikir. Memang kali ini saya sudah tidak mampu untuk berdiri atas kaki sendiri. Saya perlukan bantuan. Saya perlukan sebelah kaki lagi membantu saya meneruskan langkah ini. Saya berjalan-jalan, mencari perpustakaan, mengharapkan ada khidmat wireless untuk internet di sana.

Saya tanya orang di sana, orang di sini, di manakah perpustakaan yang berhampiran. Mereka menyatakan perpustakaan yang hampir dengan kedudukan saya pada ketika itu ialah Martin Luther King's Library. Semasa berjalan-jalan untuk menuju ke perpustakaan itu saya mempelajari keunikan susunan bangunan di Washington. Bangunan-bangunan di Washington di susun mengikut Abjad. Ada A, B, C, D sampailah ke Z mungkin. Dan setiap abjad mewakili susunan bangunan yang tersusun lurus. Kiranya, kalau sekarang saya berada di kawasan bangunan di jalan A, dan saya mahu ke bangunan di jalan D, saya perlu melepasi 2 susunan barisan bangunan iaitu bangunan B dan C. Jadi, mudahlah untuk saya mendapat panduan ke mana perlu saya tujui.

Sampai sahaja di perpustakaan itu, saya bersegera membuka laptop. Alhamdulillah, ada connection. Terus saya onlinekan YM, dan syukur alhamdulillah, Mus'ab sedang online pada ketika itu.

Saya berceritalah kepada Mus'ab. Saya ceritakan segala-galanya. Dan Mus'ab memberi cadangan kepada saya untuk menghubungi Ustaz Zaki di Malaysian Student Department di Washington.

Alhamdulillah, sudah nampak sedikit cahaya di jalan yang gelap gelita. Mus'ab memberikan nombor telefon Ustaz Zaki kepada saya.

Terima kasih Mus'ab!

Saya cari alamat MSD dan bercadang untuk berjalan kaki ke sana. Tidak jauh rupanya daripada perpustakaan ini. Hanya beberapa belas batu. Tidak jauh? Itu jauh Amar..

Saya kemudiannya memulakan langkah menuju ke MSD. Berbekalkan petunjuk dari Google Maps, saya mengikut setiap jalan yang diarahkan. Pada saat itu, saya sangat-sangat lapar. Lapar sangat! Saya tahan dahulu. Makanlah nanti sikit. Dalam perjalanan, saya terjumpa kedai makanan bergerak yang menjual daging Kosher.

Alhamdulillah, rezeki. Saya singgah sebentar di situ untuk berehat. Letih sangat! Saya beli 1 hot dog. Mula-mula satu, tapi masih tidak cukup. Maka, saya beli 1 lagi. Masih tak cukup kenyang. Akhirnya kali ke 3 baru rasa kembali bertenaga! Lunch.

Saya kemudiannya meneruskan langkah ke MSD. Jalan punya jalan, mula-mula saya masih mampu bertahan. Melihat keadaan sekitar yang begitu mempesonakan. Namun, akhirnya terasa sangat letih. Masih lagi belum sampai. Ya Allah, jauh lagi ke?

Akhirnya, saya tidak dapat bertahan lagi. Saya tahan teksi, dan meminta pemandunya membawa saya ke tempat yang ditujui. Hajat ingin berjimat sehabis mungkin akhirnya tidak kesampaian.

Jauh juga rupanya MSD ini. Kalau saya meneruskan perjalanan saya dengan kaki saya ini, mungkin apabila sampai di MSD sudah tidak bernyawa. Jauh lagi dari apa yang saya sangkakan. Akhirnya, setelah hampir 30 minit perjalanan, akhirnya tiba di MSD.

Sekali lagi saya berdebar-debar. Saya kenal akan Ustaz Zaki, tetapi saya pasti Ustaz Zaki tidak mengenali diri saya. Tidak mengapa. Jumpalah sahaja. Ketika itu jam menunjukkan jam 1 setengah.

Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke MSD. Sungguh indah dan cantik keadaan di sekitarnya. Ditambah pula dengan reka bentuk bangunannya, teringat saya akan bangunan yang biasa dilihat di Malaysia. Sebaik saya memasuki bangunan MSD, seorang wanita muda menyapa.

"Mahu berjumpa siapa, dik?"

"Saya nak jumpa Ustaz Zaki, cik,"

Dia pun membawa saya turun ke bahagian bawah bangunan. Ohh, rupa-rupanya luas dan besar sungguh bangunan MSD ini! Ustaz Zaki rupa-rupanya ada di bahagian bawah bangunan, bersama-sama dengan beberapa orang rakannya. Mereka sedang bersiap-siap untuk solat zuhur.

"Assalamualaikum Ustaz. Saya Amar dari Vandy," saya memulakan bicara.

"Walaikumsalam. Oh, Amar. Dari mana ni Amar?" Ustaz menyambut salam saya lantas saya menceritakan sedikit sebanyak masalah yang menimpa diri saya.

"Oh, jangan bimbang. Nanti kita selesaikan masalah ni sama-sama. Jom kita bersolat dahulu," jawab ustaz setelah mendengar sedikit sebanyak kisah yang saya ceritakan.

Pada saat merasa air wudhu itu, hilang segala resah, hilang segala amarah, hilang segala jiwa-jiwa dan rasa sifat mazmumah. Terasa segar kembali. Tenaga mulai bertambah! Kami bersolat bersama-sama. Sungguh bahagia rasanya pada saat itu. Ya Allah, sungguh! Rasanya begitu tenang, mendamaikan.

Alhamdulillah, jalan itu semakin terang!

17:40 Posted in Journey | Permalink | Comments (3) | Email this

Comments

:) Selagi hati yakin padaNYA, selagi itu DIA pasti ada untuk hambaNYA...

Posted by: ks | Tuesday, June 27, 2006

alhamdulillah.. Allah sentiasa bersama dengan org2 yg sabar :)

Posted by: kay | Tuesday, June 27, 2006

we're NEVER lonely..ALLAH is ALWAYS with His man..

Posted by: nurul | Saturday, July 08, 2006

The comments are closed.