Friday, June 15, 2007

Mengenali & Menjadi Diri Sendiri

Ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya dalam kelas Pengurusan Kejuruteraan (Engineering Management) yang saya pelajari pada waktu ini. Pada awal kelas ini bermula profesor menjalankan beberapa ujian pengenalan diri atau mudah dipanggil sebagai 'Personality Inventory.'

Rasanya ramai antara kita yang sudah biasa dengan ujian-ujian personaliti seperti ini. Kebiasaanya ujian personaliti akan diadakan ketika menyertai kem-kem motivasi, ataupun ketika menjalani proses temuduga dan mungkin juga dalam proses mencari pekerjaan. Seingat saya, saya pernah menjalani suatu ujian personaliti sebegini ketika menyertai suatu proses temuduga anjuran Telekom Malaysia beberapa tahun yang lalu. Pada hari ini kita melihat bahawa ujian personaliti bukan lagi suatu perkara yang asing, malahan di internet banyak laman web yang menawarkan khidmat-khidmat ujian sebegini secara percuma.

medium_DSC03254.JPG

Perkara yang paling penting dan asas ketika menjalani proses ujian personaliti ini ialah ikhlas dan jujur pada diri sendiri. Setentunya dalam soalan yang dikemukakan, terdapat banyak soalan yang bertanyakan perkara yang asas dan bagi menjadikan ujian personaliti sebagai suatu ujian yang mendatangkan hasil, kita perlulah menjawabnya dengan jujur dan ikhlas. Kebiasaannya ketika menjalani ujian personaliti, sama ada kita sedar ataupun tidak akan timbulnya suatu konflik dalam diri kita; kita berasakan bahawa kita mahu melakukan perkara tersebut namun pada hakikatnya kita tidak melakukannya.

Contoh soalannya begini;
1. Jika anda mahu keluar ke suatu tempat pada suatu hari, anda akan;
A. membuat perancangan terlebih dahulu seperti bila dan di mana anda mahu pergi.
B. pergi sahaja.

Kebiasaanya apabila menjawab soalan personaliti, kita tidak perlu berfikir panjang dan mendalam. Hanya tanda pada jawapan yang kita rasa sesuai dengan diri kita. Namun jika timbulnya rasa konflik yakni kita berasakan bahawa kita mahu membuat perkara tersebut namun realitinya kita tidak melakukannya, kita wajar memilih tidak melakukannya.

Perkara yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah betapa perlunya kita mengenali diri kita sendiri dan menghargai diri kita yang sebenar. Tidak ramai yang benar-benar mengenali diri kita, kadangkala kita sendiri kurang memahami diri kita sendiri. Sememangnya ujian-ujian personaliti yang semakin banyak dicipta memberi peluang kepada kita untuk mendalami diri kita sendiri; setidak-tidaknya mengenali kelemahan dan kekurangan diri sendiri.

Apabila kita mengenali siapa diri kita yang sebenar, barulah kita mampu mencungkil potensi diri kita yang sebenar, bergerak seiring dengan matlamat peribadi yang menjadi semakin jelas.

Begitu juga dengan keperluan menghargai diri kita yang sebenar. Katakanlah kita menyedari hakikat bahawa kita memiliki sifat kekurangan mempengaruh atau (Low Influence) dalam diri kita. Ini tidak bermakna orang yang mempunyai daya High Influence sahaja merupakan orang yang hebat, orang yang mempunyai Low Influence apa kurangnya. Buktinya menurut kajian, orang yang memiliki Low Influence mempunyai ciri-ciri positif yang tersendiri seperti "works positively in job requiring little personal contact, control emotions, analytical, factually oriented to planning and problem solving, articulate with facts and persuades by logic versus emotions."

Ramai orang yang mahu menjadi seperti orang lain tanpa menyedari bakat dan personaliti hebat yang mereka miliki namun mereka sengaja sembunyikan. Saya tidak katakan jangan sesekali menjadi seperti orang lain, tidak. Contoh teladan yang kita rasakan elok untuk kita lakukan dan praktikkan dalam kehidupan sehari-hari ada baiknya kita ikuti dan contohi manakala yang kurang elok kita tinggalkan.

Dalam pada itu juga, sentiasalah bermuhasabah diri kita sendiri agar kita sentiasa mengenali kelemahan yang kita miliki dan sentiasa mengingatkan diri kita agar tidak terkalah dengan kelemahan yang kita ada. Semoga semakin dalam kita mengenali diri yang serba kekurangan, semakin terasa kehambaan diri kita kepada yang Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa.

Klik untuk melawat Myers & Briggs Personality Inventory dan DISC Profile. Dua ujian personaliti merupakan ujian yang digunakan dalam kelas saya.

00:10 Posted in Journey | Permalink | Comments (3)

Comments

Ni lah kesan amik ENGM 244.. baru belajar seminggu dah boleh diaplikasi.. hahaha..

Posted by: akhmed babarov | Friday, June 15, 2007

salam, saya amat tertarik membaca artikel ini. kalau ada lagi kongsi lah lagi.

Posted by: wahidah | Friday, August 15, 2008

thanks for article given...i be more confident

Posted by: sitiey | Thursday, January 13, 2011

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.