Monday, August 20, 2007
Berbeza Pendapat?
Saya menyedari bahawa saya hampir-hampir kehilangan selera untuk mengemaskini weblog saya ini. Saya menyangkakan musim panas bakal dipenuhi dengan waktu-waktu terluang yang mampu diisi dengan berehat-rehat. Tapi telahan saya ternyata kurang tepat. Selain disibukkan dengan tugas-tugas harian di GCRC, setiap malam saya perlu 'bekerja' dengan hal-hal Olive Tree pula.
'Bekerja' bukanlah dalam erti kata ke pejabat, tetapi dengan mengemaskini laman web, berurusan dengan pihak-pihak yang berminat membuat program dan sebagainya. Saya menyedari bahawa tumpuan saya terhadap GCGC dan OTE akan berkurangan sebaik sahaja bermulanya Fall Semester pada minggu hadapan.
Ya, pada minggu hadapan. Sudah hampir tamat rupanya musim panas tahun ini.
Sebenarnya, saya tertarik dengan ulasan oleh Saudara Hafiz Firdaus Abdullah berkenaan berbincang melalui adab Islam.
Saya sangat gemar mendengar rakan-rakan berbincang, lebih lagi apabila bersoal jawab berkenaan hal-hal permasalahan umat Islam, hukum hakam agama dan sebagainya. Saya ini, terus terang, bukanlah seorang yang gemar menjadi pusat perbincangan lantaran saya ini tersangat lemah dari aspek keilmuan. Justeru saya lebih suka mendengar, dan jika ada perkara yang saya rasa kurang faham, saya akan terus bertanya kepada orang yang lebih tinggi ilmunya.
Namun saya memerhatikan ketika rakan-rakan saya berbincang, mereka sedikit kurang dengan adab-adab perbincangan. Ada yang suka terus menerus memberi pendapat seolah-olah dialah yang paling tinggi ilmunya, ada juga yang suka menyampuk-nyampuk, dan ada juga yang bersifat kurang sabar dalam perbincangan, dalam erti kata yang lain, sangat tinggi egonya di dalam diri.
Bagi saya, sejujurnya saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan berlaku perselisihan pendapat. Seboleh-bolehnya saya mahu mengelakkan perdebatan. Ataupun, jika perkara tersebut merupakan permasalahan fikh yang berat, saya lebih suka bertanya kepada 'alim. Senang sahaja berkata, "Aku pun tak berapa pastilah. Nanti aku tanya kepada sekian-sekian orang pasal hal ini," daripada terus bertegang urat.
Di dalam Kitab Suci al Quran ada menerangkan,
"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." Surah al-Nahl 16:125.
Sentiasalah cuba bersifat lemah lembut dalam perbincangan. Elakkan daripada aksi-aksi memberi jawapan seolah-olah orang yang bertanya itu berasa begitu dangkal, rendah diri dan kurang ilmunya. Beri peluang kepada setiap pihak untuk menghabiskan persoalan dan jawapan yang mahu disampaikan dan janganlah menyampuk-nyampuk. Saya pasti kita semua akan berasa kurang senang seandainya percakapan dan perbualan kita diganggu.
Menarik diri daripada perselisihan pendapat bukan bererti mengalah, akan tetapi kerana mencari rahmat Allah di sebalik kepelbagaian pendapat yang sedang di hadapi saat itu. Janganlah berasa tinggi diri dengan ilmu yang kita miliki, lantaran nikmat ilmu itu datang daripada Allah swt juga yang Maha Bijaksana.
14:20 Posted in Ideas | Permalink | Comments (3) | Email this


Comments
Bismillah hirrahman nirrahim,
sekadar ingin membetulkan typo,
qouted :
"..Dalam surah An Nisa ada menerangkan, [rasanya patut surah al-Anfal, maksud ayat dibwhnya dah betul-ayat n surah]
---
"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." Surah al-Nahl 16:125.
Wallahu alam.
Posted by: ryuneko | Tuesday, August 21, 2007
Maaf, tadi anNahl dah betul, yg salah an Nisa.
Ana pula tertype al-Anfal, gara2 asyik memikirkan ayat [8:65,66]
Posted by: ryuneko | Tuesday, August 21, 2007
Astarfirullahal'adhim,
Benar. Ada typing error di situ. Ya Allah tertulis an Nisa' padahal sepatutnya Al Nahl.
Maaf. Terlalai. Terima kasih membetulkan.
Posted by: Amar Razali | Tuesday, August 21, 2007
Post a comment