Friday, August 24, 2007

Kawan

Kawan kita. Keluarga kita.

Berpindah ke rumah baru merupakan suatu perkara yang memenatkan. Semalam, secara tiba-tiba, rumah saya diminta dikosongkan sebelum jam 5 petang. Ah, cemas juga saya dibuatnya. Saya sudahpun bertanya kepada pihak Residentials di Branscomb tempoh hari, mereka memberitahu saya hari berpindah ialah pada hujung minggu ini.

Memang saya tidak berkemas apa-apapun. Semasa di pejabat, tiba-tiba mendapat pesanan suara daripada Qayyum, menyatakan bilik saya perlu dikosongkan segera. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya sedang bekerja. Tetapi kawan-kawan saya memberi jaminan bahawa mereka akan memindahkan hampir semua barang-barang ke bilik baru saya.

Bilik baru saya itu - Tolman - boleh tahan juga jauhnya. Walaupun masih dalam kawasan kampus, tapi perlu juga berkereta untuk mengangkut barang-barang kepunyaan saya.

Saya pulang sekitar jam 445 petang, dan melihat bilik lama saya sudah kosong dan dibersihkan. Memang sungguh terharu melihat kawan-kawan yang berpenat lelah dan berpeluh-peluh mengangkat barang-barang saya. Segera saya membantu apa yang sempat saya lakukan, namun ketika itu hampir 90% barang sudah dipindahkan.

Sungguh saya rasa terharu. Hampir semua rakan 'batch' membantu saya, Shahrul dan Azlan berpindah rumah. Menghayati kesungguhan kawan-kawan yang mengalihkan barang-barang sejak jam 2 petang tentunya amat memenatkan. Ada juga di kalangan mereka yang berpuasa. Oh, hanya Allah sahaja mampu memberi ganjaran terhadap penat lelah mereka.

Kini tinggal giliran saya pula untuk mengemas bilik baru itu. Bilik itu dipenuhi dengan kotak-kotak dan sangat tidak tersusun. Saya bercadang untuk mengemaskan bilik itu bersama Amir pada hujung minggu ini InsyaAllah.

Terima kasih - Qayyum, Baba, Hubab, Shahrul, Azlan, Nik, Sakinah, Ashwaq, Dayana, Zairin.

12:25 Posted in Ideas | Permalink | Comments (1) | Email this

Comments

sama-sama. kitorang pun happy je menolong.

Posted by: Q | Friday, August 24, 2007

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.