Tuesday, January 22, 2008

Bandaraya Kuala Terengganu; Catatan & Harapan

Bandaraya Kuala Terengganu - Afidavit Emosi, Kemahuan & Harapan.

Hasil tulisan bersama:
Razali Ismail dan Amar Razali.

"Tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bermain."


Pada 25 Disember yang lalu, Awang Goneng telah melancarkan karya kenangannya, "Growing Up in Terengganu" di sebuah toko buku yang kecil di Bandar Kuala Terengganu. Toko buku ini dulunya bagi orang Terengganu dikenali sebagai "Kedai Buku Pak Lah Yunan," toko ini menyimpan sejarah yang istimewa dalam mengimarahkan budaya ilmu di negeri ini. Dalam memoir ini, Awang Goneng mengungkap panaroma dan iklim sosio-budaya Kuala Terengganu di tahun 50an dengan menggunakan banyak istilah kolokial "Teganung" dan satu glosari yang panjang untuk menerangkannya.

Menariknya pelancaran karya Awang Goneng ini dibuat dicelah keghairahan warga Kuala Terengganu yang menunggu hari perisytiharan Kuala Terengganu pada 1 Januari 2008 sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air (KTBWPA). Menariknya juga Awang Goneng yang berusia lingkungan 60an, kini menetap di kota metropolitan London sebagai seorang 'freelance writer' (nama sebenar Wan A. Hulaimi) mengimbau kembali zaman kanak-kanak dan remajanya. Awang Goneng menggarap suasana sosio-budaya Kuala Terengganu dalam "Growing Up in Terengganu," merupakan khazanah ilmu bagi generasi baru, di samping memugar bahan nostalgia bagi warga tua yang menyaksikan satu episod pembangunan yang menarik sebagai sebuah bandaraya.

Awang Goneng yang hampir 30 tahun menetap di London, singgah seketika di tempat tumpah darahnya menyaksikan perubahan ketara bandar Kuala Terengganu. Setelah melihat dengan mata sendiri panorama Kuala Terengganu baru dengan muara sungai yang berubah, Pulau Duyong sebagai pusat sukan air Monsoon Cup, Pulau Wan Man sebagai pusat replika 21 binaan masjid simbol tamadun Islam, Seberang Takir bakal menyaksikan binaan hotel dan pusat pelancongan lima bintang yang membawa pelancong antarabangsa melalui rangkaian kapal mewah Star Cruise, Batu Burok sebagai taman rekreasi, Padang Hiliran sebagai pusat perniagaan, Kampong Cina dan Kedai Payang yang berwajah baru. Barangkali dalam fikiran Awang Goneng ada hasrat terpendam untuk menulis tentang Bandaraya Kuala Terengganu baru dalam dimensi futuristik pula.

Lima dasawarsa yang mendatang pasti menjanjikan satu senario baru, landskap Kuala Terengganu dalam kerangka pembangunan mega Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang menelan RM112 billion bakal membawa dimensi baru. Pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan industri pembuatan bakal mengubah suasana dan menyaksikan gelombang baru wilayah ini yang dahulunya mundur dan tercorot dalam senarai pembangunan. Lima puluh tahun yang mendatang bakal mengubah wajah wilayah timur ini sebagai wilayah baru yang berpotensi menjadi 'movers-and-shakers' dalam pembangunan Malaysia.

Bandaraya Kuala Terengganu menempa wajahnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air (KTBWPA). Istimewanya Kuala Terengganu ialah lokasinya. Terletak di muara sungai dan di pesisir pantai yang memutih menghadapi Laut Cina Selatan sekaligus, menjadikan satu-satunya bandaraya yang mempunyai panaroma sungai dan pantai yang unik dan mengasyikkan. Penduduknya 96% Melayu daripada 361,800 orang penduduk dengan keluasan 60,500 hektar.

Kuala Terengganu menempa nama sebagai bandaraya pertama di Pantai Timur, menyaksikan proses pembangunan infrastruktur yang pesat. Antaranya binaan Lapangan Terbang Antarabangsa, Kompleks Sukan, Kampus Universiti Darul Iman, Kampus Universiti Malaysia Terengganu, Kompleks Teluk Warisan Pulau Duyong dan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, laluan Lebuhraya Pantai Timur, projek penambakan dan benteng pemecah ombak Seberang Takir dan pembangunan bandar sebagai pusat perniagaan dan pembuatan termasuk Global Animation Centre di Padang Hiliran.

Pemimpin yang telah diberi amanah begitu ghairah memastikan segala projek pembangunan berjalan lancar. Komitmen yang diberikan cukup tinggi untuk menjadikan Terengganu sebagai 'trend setter' kepada sebuah pembangunan bandaraya dengan penerapan prinsip-prinsip Islam.

Dengan bingkai rujuk kepada pembangunan berteraskan nilai Islamik, Bandaraya Kuala Terengganu akan memperlihatkan satu kesinambungan ciri-ciri ketamadunan Islam untuk digilap semula, menjadikan warganya sentiasa prihatin untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Asuhan penerapan nilai Islam bermula dari peringkat pra sekolah hingga ke pengajian tinggi. Agensi kerajaan negeri seperti Yayasan Islam, Yayasan Terengganu, Sekolah Imtiaz, Institut Tahfiz dan kesemua IPT berfungsi untuk menjana Generasi Ulul-Albab yang mempunyai ciri-ciri 'Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.' Kejayaan awal program ini semakin terserlah. Anak-anak kecil tabika, tadika dan murid sekolah rendah menunjukkan minat membaca dan khatam Al-Quran. Dalam usia serendah 3 tahun telah mampu menghafal juzuk Amma. Semua ini bertolak daripada usaha dan kesedaran terhadap tanggungjawab melahirkan warga yang menghayati hak duniawi dan ukhrawi.

Melalui institusi pendidikan, warga bandaraya bakal melihat gerak kerja yang bersungguh-sungguh untuk mengimarahkan budaya ilmu. Terengganu sekarang memiliki empat buah pusat IPT, iaitu UDM, UMT, UiTM dan Kolej Universiti TATI. Pusat Sumber yang interaktif, kemudahan broadband dan Pusat Minda bakal menjana idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang baru.

Pembangunan dengan ciri-ciri masyarakat yang harmoni perlu dilaksanakan secara sedar, teratur dan bersepadu. Agenda pembangunan yang mampan untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang selesa, berkualiti, harmoni dan selamat perlu dokongan yang jelas.

Pembangunan lestari mesti menjadi dasar dalam agenda 'the way forward' Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya termuda ini perlu melakar sebuah pembangunan yang hebat supaya dalam masa yang sama tidak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan.

Menurut laporan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) lebih 15,000 peluang pekerjaan telah disediakan sejak tahun 2004. Sejumlah RM200 juta telah dibelanjakan untuk membantu golongan miskin menerusi pelbagai agensi dalam usaha peningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Satu cabaran yang jelas yang akan dihadapi KTBWPA ialah menangani masalah kemiskinan yang memerlukan satu pendekatan dan upaya yang tinggi. Memang banyak teori yang membicarakan tentang strategi pembasmian kemiskinan, tetapi dari segi realitinya banyak pula yang tidak kesampaian untuk mengatasinya, malah jurang pendapatan semakin meluas. Paradigma dan makna pembangunan itu sendiri perlu diteropong semula secara telus, wajar dan saksama.

Saya teruja dengan kajian, penulisan dan dialog di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terkini ialah sebuah penulisan pakar ekonomi yang merumuskan bahawa meskipun padang permainan dapat diratakan, maksudnya longgokan dan agihan sumber dan pembangunan telah dilaksanakan dengan rata, tetapi ironinya jurang pendapatan semakin ketara. Penulisan Jomo K.S dan Jacques Baudot, "Flat World, Big Gaps", 2007 membincangkan isu ini.

Prof. Diraja Ungku Aziz, menulis tentang impak Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-9, merujuk hal yang sama dengan kata kiasan, "Sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekornya."

Penulisan dan kajian terkini yang dibuat oleh sarjana barat juga banyak menunjukkan "a misadventure of development," betapa pembangunan hanya menghasilkan kekayaan kepada beberapa, memiskinkan majoriti dan mengancam planet Bumi!

Sebagai jawapan kepada persoalan ini, kita perlu memberi definisi baru terhadap pembangunan. Pembangunan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal bersifat kebendaan, tetapi kepada pembangunan modal manusia. Ini adalah anjakan yang bertumpu kepada siapa iaitu manusia bukan apa iaitu bangunan, binaan fizikal dan sebagainya. Memang, membina upaya manusia dari segi set minda, sahsiah, emosi, spiritual dan proses pengislahan manusia itu jauh memberi impak perubahan daripada dimensi luaran yang fizikal.

Memahat sejarah dan membina tamadun bukan terletak kepada bangunan dan prasarana tetapi kualiti pengislahan manusia. Faktor kualiti manusia adalah penentu dalam pembinaan Tamadun. Dunia Islam yang gemilang dahulu dan kemajuan dunia kontemporari adalah dijana oleh modal insan yang berkualiti yang juga disebut dengan istilah "creative class" oleh penulis barat seperti Robert Florida.

Sesungguhnya pandangan dan pendekatan di atas perlu dijadikan garis panduan dalam memacu pembangunan KTBWPA.

Persoalannya, dalam konteks menangani masalah kemiskinan dan pembangunan ini apakah setiap kerangka dan tindakan kerja akan membawa KTBWPA mara, statik atau mundur dalam mencapai misi kewujudannya?

Kepimpinan yang ada dan yang akan datang perlu mempunyai dimensi tersendiri tentang konsep pembangunan. Definisi pembangunan dari perspektif Islam semestinya berlandaskan perhitungan habuan dunia dan habuan akhirat. Dunia dicari dalam perhitungan akhirat. Daripada kacamata para sekulator barat, pembangunan tidak boleh berlaku dalam kerangka keagamaan dan ruang agama dipersempitkan. Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat, dunia ini adalah syurga dan segalanya.

Bertitik tolak daripada paradigma inilah mereka keliru membentuk konsepsi pembangunan dalam rangka mengisi dan mengejar kejayaan di alam maya, lantaran dunia ini dilihat sebagai segala-galanya: alpha dan omeganya, "kedisini-kinian," "the beginning and the end, the first and the last" dan "this world is all and enough!"

Paradigma muslim adalah lebih jauh, dunia ini hanyalah suatu pengkalan dan sebuah ladang yang mesti diurus tadbir serta dimakmurkan di atas paksi tauhid dalam kita menuju kehidupan akhirat yang tiada hujungnya. Dunia ini adalah hakNya, manusia jangan pula memandai menggunakan kekayaan dan hakNya kemudian lupa untuk menyembahNya.

Inilah punca kekeliruan sekulator barat yang mendefinasikan pembangunan hanya dalam olahan persekitaran fizikal, ekonomi, politik dan kehidupan jasadi-indrawi semata-mata; hanya-sanya memenuhi tuntutan keseronokan jasmani tanpa pertimbangan rohani yang hakiki. Dalam kekeliruan ini juga mereka meminggirkan agama, sehingga pada satu tahap agama tergelonsor, terhakis begitu rupa, dan sekularisme muncul sebagai agama ganti dan idea pembangunan duniawi-khayali berkembang.

Ini adalah cabaran globalisasi dalam pembangunan yang menatijahkan kekeliruan ilmu yang memerlukan kita lebih perihatin dalam melakar sebuah pembangunan bandaraya yang menerapkan pendekatan Islam sebagai prinsip yang utama.

Nyatalah bahawa keghairahan pembangunan dengan penekanan kepada pencapaian kebendaan dan meminggirkan perhitungan adab, akhlak dan tatasusila hanya mengakibatkan kerosakkan, bukannya pembangunan! Nyatalah bahawa, pembangunan itu adalah suatu proses dan mutu pengislahan diri perseorangan dan masyarakat bangsa tersebut kepada amal perbuatan yang ikhlas, berhikmah, berani, serdahana dan adil.

Prinsip dan fahaman inilah yang akan meletakkan pembangunan dan manusia dalam keadaan bahagia, sa’adah tidak dirundung tragedi, kerosokkan, fasad atau sengsara; tiada 'decadence' kepada sifat manusiawi dan persekitarannya.

Sesungguhnya idealisma pendekatan Islam sebagai tunjang permbangunan untuk membangun sebuah bandaraya memerlukan tenaga yang hebat dari kalangan pemimpin intelektual-ulama – 'ulul albab' demi memasarkan, menjaja dan memasyarakatkan idea pembangunan Islam agar menjadi prinsip serta pedoman untuk bertindak, khususnya dalam kerangka pembinaan wilayah ekonomi negara (IRDA, NCER, dan ECER).

Awang Goneng pasti menaruh harapan untuk melihat pembangunan Bandaraya Kuala Terengganu dari dimensi yang menterjemahkan pendekatan Islam daripada sebuah idea yang ideal menjadi suatu realiti.

Suatu cabaran kepada rakyat negeri Terengganu untuk membuktikan bahawa "Gitulah! Orang Teganung buleh sokmo!"

Catatan:
Razali Ismail ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Amar Razali ialah anakanda ketiga dalam keluarga.

22:45 Posted in Journey | Permalink | Comments (7)

Comments

erm, rase mcm pernah baca artikel ni... kalau x silap dlm berita harian....

Posted by: Ariff H. | Friday, February 01, 2008

bangga jadi rakyat Terengganu.byk yg sudah berubah secara fizikal.harap mentaliti rakyat juga berubah.
TTI pun sudah dirasmikan khabarnya.
harapnya dgn terlaksananya ECER, dapat ambe bekerja di negeri sendiri nanti.tak perlu merantau jauh-jauh.

Posted by: farhan | Monday, February 04, 2008

need ur plz... edit my essay.... noe ur busy but plz. m rely wanna win thiz thing once again....

Posted by: Ariff H. | Wednesday, February 06, 2008

need ur help plz... edit my essay.... noe ur busy but plz. m rely wanna win thiz thing once again....

Posted by: Ariff H. | Wednesday, February 06, 2008

Maybe it is better u study at UMT or UDM. Why Nashville? Why in the country that obviously hate muslims?

Terengganu is better off without you, I guess.

Posted by: quesmind | Friday, February 29, 2008

I think that is a very seriously narrow minded question. I simply think it's better not to answer your question.

Posted by: Amar Razali | Friday, February 29, 2008

sy tertarik dgn artikel nie.. kalu blh sentiasalah selitkan cerita mgenai bandaraya kuala terengganu.. i need information for my thesis...

Posted by: faizatulakmal | Friday, March 21, 2008

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.