Sunday, August 03, 2008

Menuju ke Syurga - Di Dunia

Assalamu'alaykum Warahmatullah Wabarakatuh;

8bd72c61f799cd58cb1e16d237517081.jpg

Masjid Abu Hurairah di Madinah al Munawwarah

Saya dalam perjalanan menuju ke 'syurga' di dunia - balik ke rumah halaman. Ya, rumah saya dibesarkan. Saya dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Sekarang saya berada di LAX, terminal 3. Tentu sahaja terminal 3 ini dikenali ramai orang Malaysia kerana di sinilah terdapatnya pejabat imigresen untuk melapor keluar dari US. Juga di sini juga tempat check-in bagi MAS.


Saya tidak tidur semalaman. Inilah padahnya menangguh-nangguhkan kerja. Saya berjaga sepanjang malam bagi menyiapkan homework Bahasa 'Arab. Juga berhempas-pulas menyiapkan karangan dalam Bahasa 'Arab. Terasa sedikit terdesak sebenarnya kerana agak keletihan selepas pada waktu siangnya saya mengambil 2 peperiksaan dan 2 kuiz dalam subjek tersebut. Ini semua gara-gara salah infomasi antara Ustadh Bushra dan Ustadh Abdulkadir. Ustadh Abdulkadir memaklumkan kepada saya bahawa Chapter 8 yang akan diuji, tetapi di atas kertas, Chapter 11 pula yang terpampang. Kehairanan juga saya sebenarnya. Tetapi syukurlah, Allah mengurniakan kekuatan dan saya mengambil keputusan untuk membuat sahaja 2 kertas tersebut; walaupun Ustadh Abdulkadir pada mulanya sudah memberi jaminan akan memberi markah penuh pada kertas yang pertama.

Pulang ke Malaysia pada awal Ogos ini setentunya menyebabkan ramai yang kehairanan. Yalah, semester akan bermula kira-kira 3 minggu lagi daripada sekarang. Tetapi itu tidak menghalang saya untuk tetap pulang ke Malaysia. Biarlah sekejap, tetapi nikmat untuk menatap wajah ayah bonda yang sekian lama dirindui tidak dapat dibandingi oleh mana-mana perkara.

Saya memang tak bagus dalam mengawal masa! Tiba di BNA pada jam 5 pagi, penerbangan ialah pada jam 6 pagi. Itu sebenarnya sudah dikira lewat! Saya tersangkut di kaunter check-in, terima kasih AA kerana mengenakan caj tambahan untuk setiap bagasi. Taktik Air Asia betul la! Saya benar-benar tak tahu akan perkara ini. Apapun, boarding time ialah pada jam 530 pagi, dan apa yang lebih menggeletarkan saya ialah saya tiba di kaunter pemeriksaan TSA yang menguji kesabaran itu juga pada jam 530 pagi. Hati saya tidak putus-putus berdoa, berzikir mengingati Allah. Ya Allah bantulah aku mudahi perjalanan menemui keluargaku ini.

Saya menempuhi halangan TSA sekitar 15 minit. Ketika itu saya tidak tahu jam berapa, yang saya tahu saya berlari laju menuju ke pintu C6. Alhamdulillah ya Allah, shukur, mereka masih menerima penumpang! Pintu penerbangan masih belum ditutup. Shukur alhamdulillah..

Syukurlah, apa yang boleh saya katakan ialah, perancangan cuti musim panas pada tahun 2008 ini semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, alhamdulillah. Semoga Allah merahmati segala keputusan yang dilakukan. Bermula dari awal percutian summer lagi saya sudah terlibat dalam kerja penyelidikan di makmal Dr. Polley. Saya telah terlibat dalam mengkaji tindak balas otak manusia terhadap kesan bunyi yang berbeza-beza. Dalam kes ini kami menggunakan otak tikus. Saya dikehendaki melakukan kajian, sorting of mechanisms & therapeutic potential of brain plasticity.

Ketika sibuk dengan kerja di dalam lab, saya diberi kesempatan dan kelepasan oleh Dr. Polley untuk mengerjakan 'umrah, alhamdulillah selama 2 minggu. Pulang daripada mengerjakan umrah, saya meneruskan kerja-kerja di lab sehingga berakhirnya kajian pada awal pertengahan bulan 7 baru-baru ini. Kesempatan masa yang ada saya gunakan untuk mengambil kelas Bahasa 'Arab yang kedua.

Selain berkesempatan ke ICNA Convention yang diadakan di Hartford, CT pada 4-6 July yang lalu, saya dan rakan-rakan juga ke Itasca, IL untuk menghadiri kelas AlMaghrib "The Sacred Scrolls" oleh Shaykh Yasir Qadhi dan Imam Suha'ib Webb. Masha Allah perjalanan sepanjang musim panas ini benar-benar membuka minda, selain mengeratkan ukhuwwah dan mempelajari perkara-perkara yang baru.

Juga, sepanjang musim panas ini, saya menjadi car dealer tidak rasmi. Kelakar juga rasanya bagaimanalah tiba-tiba menjadi layak untuk menjadi orang tengah dalam pencarian kereta, tetapi pada akhirnya, saya menyaksikan jual beli sebanyak 3 buah kereta. Haha! Saya tidak boleh lupa sebenarnya saya juga berbakat dalam tawar-menawar harga. Sebuah Toyota Camry 1998 dengan harga $4000, sebuah Toyota Camry LE 2000 dengan harga $3500, dan sebuah Mazda dengan harga $2200.

Kini saya di LAX, menantikan penerbangan MAS pada jam 1 pagi nanti. Tidak sabar untuk berjumpa keluarga. Moga-moga perjalanan selamat pergi dan selamat kembali.

Amar Razali.

19:40 Posted in Journey | Permalink | Comments (0) | Email this

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.