« My Beloved Ones! | HomePage | May His Soul Rest in Peace »

Wednesday, October 15, 2008

May His Soul Rest in Peace

Assalamu'alaykum Warahmatullah Wabarakatuh,

Saya hanya baru mengetahui akan berita pemergian Allahyarham Encik Rosllan Ismail, bekas pegawai Malaysia Student Department di Washington DC (2004-2007) kira-kira dua hari yang lalu. Itupun setelah menerima emel daripada isteri Allahyarham, Auntie Fiza yang saya kenali sewaktu saya tersadai di Washington DC dalam perjalanan ke London kira-kira 2 tahun yang lalu. Sememangnya saya amat terkejut besar, seolah-olah tidak percaya apabila membaca emel daripada Auntie Fiza. Saya berasa pilu dan hiba, dan rasa terkejut itu sukar untuk dilenyapkan buat beberapa ketika. Saya bermunajat, berzikir, dan berdoa kepada Allah agar merahmati Allahyarham Encik Rosllan dan menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh.

Kenangan saya bersama dengan Allahyarham Encik Rosllan sukar untuk dilupakan, lebih-lebih lagi setelah kejadian yang menimpa diri saya kira-kira 2 tahun yang lalu. 2 tahun lalu, saya, Hubab dan Baba dalam misi perjalanan ke UK ketika musim cuti panas. Disebabkan saya terlambat mengisi borang I-20, dan kelecehan urusan transit visa ke Kanada membuatkan hanya saya seorang sahaja terpaksa menangguhkan perjalanan ke UK buat beberapa hari.

Kisah perjalanan saya boleh dibaca di sini, di sini, dan di sini.

Allahyarham Encik Rosllan merupakan kenalan rapat papa. Seingat saya, Allahyarham Encik Rosllan ada menceritakan pengalaman beliau dengan papa sewaktu menghasilkan sebuah buku yang seingat saya ada kaitan dengan perjalanan papa ke pedalaman Sabah dan Sarawak untuk melihat kebajikan murid-murid dan guru di sana. Saya terlupa akan tajuk buku tersebut tetapi saya pernah melihatnya di rumah. Saya masih ingat lagi, pada malam saya tersangkut di Washington DC, Allahyarham Encik Roslan beriya-iya mahu mengajak saya bermalam di rumahnya walaupun pada mulanya Ustaz Zaki sudah menjemput untuk bermalam di rumah beliau. Kami bersembang panjang pada malam itu. Allahyarham Encik Rosllan begitu banyak bercerita akan kenangannya bersama-sama dengan papa dan saya dapat berasakan keakraban persahabatan antara papa dan Allahyarham Encik Rosllan.

Kemesraan dan keramahan Allahyarham Encik Rosllan kepada saya begitu dalam dirasai. Saya dilayan dengan sebaik-baiknya, dan saya berasa seolah-olah berada di rumah sendiri. Allahyarham Encik Rosllan dan Auntie Fiza memberi layanan yang sungguh baik membuatkan saya berasa seperti berada bersama-sama dengan keluarga sendiri.

Keesokan harinya, saya sudah bersedia dengan segala dokumen untuk meneruskan perjalanan ke UK. Saya masih ingat saat-saat sebelum saya meninggalkan bangunan MSD untuk ke lapangan terbang.

Allahyarham Encik Roslan bertanya,"Eh Amar nanti di UK tak sejuk ke?"

Saya kata, "Sekarang kan Summer Encik Rosllan. Taklah sejuk sangat rasanya."

"Habis nanti dalam flight tak sejuk ke? Nah ambil blazer saya ni," kata Allahyarham langsung memberikan satu blazer kepada saya.

Saya masih simpan blazer itu sehingga ke hari ini, ada di bilik saya ini dan saya hampir menitiskan air mata memandang blazer tersebut setelah mengetahui Allahyarham Encik Rosllan telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Ketika beliau datang ke Vanderbilt untuk majlis pertemuan dengan pelaja-pelajar Malaysia di sini, saya ingin memberikan balik blazer itu kepadanya, tetapi beliau menolak.

"Simpanlah," katanya.

Rupanya itulah pertemuan terakhir saya dengan beliau. Kami ada berhubungan beberapa kali selepas itu, namun selepas khidmat beliau di MSD Washington tamat sekitar 2007, saya sudah tidak mendengar khabar berita daripadanya. Tiba-tiba sahaja, saya mendapat tahu bahawa beliau telah meninggal dunia.

Allahyarham Encik Rosllan meninggal dunia pada pagi 29 Jun 2008, akibat 'cardiac arrest' ketika beliau mahu mengambil wudhu' untuk menunaikan Solat Dhuha. Ya Allah, semoga Engkau mengampuni dosa-dosa Allahyarham, mengurniakan Allahyarham Syurga FirdausMu yang tertinggi, dan memudahkan urusan isteri dan anak-anak Allahyarham. Ameen.

Gambar kenang-kenangan bersama dengan beliau:

KIF_1819.JPG
Ketika di bangunan MSD di Washington DC. Dari kiri: Ustaz Zaki, Saya, Encik Wan Ashbi, Allahyarham Encik Rosllan

PA150018.JPG
Ketika lawatan MSD ke Vanderbilt pada tahun 2006. Gambar kenang-kenangan Class of 2009 bersama-sama dengan pegawai MSD

PA150024.JPG
Gambar kenangan-kenangan pelajar lelaki Class of 2009 bersama-sama dengan para pegawai MSD termasuk Allahyarham Encik Roslan

CIMG0940.JPG
Blazer pemberian Allahyarham kepada saya masih terjaga dengan elok dan sempurna

08:24 Posted in Journey | Permalink | Comments (1) | Email this

Comments

salamm

Al Fatihah. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan di kalangan para soleh.

Posted by: jeff | Tuesday, October 21, 2008

Post a comment