Wednesday, May 27, 2009

Takziah

As-salaam 'alaykum,

Saya kini berada di Maryville, TN untuk menguruskan jenazah allahyarham Nublan Zaki Norhadi. Kira-kira jam 1 pagi pada hari Isnin, Khairi menghubungi saya memaklumkan bahawa ada pelajar dari Penn State University hilang ketika bermandi-manda di salah sebuah kawasan air terjun di Smoky Mountains dekat Gatlinburg, TN. Seketika kemudian Ustaz Abdul Rahman Abdullah, pegawai Malaysia Student Department (MSD) di Washington DC menghubungi saya meminta agar saya bersedia untuk menguruskan jenazah sekiranya mangsa benar-benar didapati lemas. Gatlinburg dan Nashville tidak jauh - hanya 3 jam memandu.

Malam itu saya sedikit terketar-ketar. Bukanlah saya gusar menguruskan jenazah, tetapi bermuhasabah jika sayalah yang dijemput oleh malaikat maut. Malam itu saya tidak tenang tidur, dan berdoa moga-moga mangsa selamat. Tetapi, Allah lebih menyayangi allahyarham. Sekitar jam 1:30 tengah hari pada hari Isnin, pasukan penyelamat menjumpai badan allahyarham yang terapung pada kedalaman kira-kira 25 kaki di sekitar kawasan dalam air terjun.

Inna lillahi wa inna ilahi raji'uun.

Ustaz Abdul Rahman meminta agar saya dan beberapa rakan agar dapat bergegas ke Gatlinburg untuk membantu menguruskan jenazah dan pada masa yang sama membantu menenangkan rakan-rakan allahyarham. Saya, Abdullah, Khairi, Zairin dan Hafizah bertolak ke Gatlinburg sekitar jam 3 petang dan tiba di sana sekitar jam 7 malam. Rakan-rakan allahyarham yang tinggal pada ketika itu - Syahir, Izwan, Syafiq, Bina, 'Ain, Daju, dan Nadia - berada di cabin bersama-sama dengan Ustaz Zaki, Cik Siti Zubaidah, En. Ahmad Yeob dan Abg Mat.

Alhamdulillah, saya mempunyai kenalan di Islamic Center di Knoxville. Saya pernah ke sana beberapa kali dan syukur alhamdulillah, urusan jenazah dipermudahkan dengan izin Allah, dengan bantuan mereka. Saya menghubungi Dr. Islam, yang merupakan orang kuat Islamic Center di Knoxville, juga Brother Hatem, Brother Ummar, Brother Muhammad Harifi dan beberapa Muslim lain yang mashaAllah, sangat membantu kami dalam pengurusan jenazah allahyarham.

Hari ini, Selasa, May 26 2009, jasad telah dilepaskan dari Blount Memorial Hospital kepada Click Funeral Home - tempat jenazah akan diuruskan oleh kami. Saya dan rakan-rakan di sini berjanji akan berusaha keras dan membantu sepenuh hati untuk menguruskan jenazah allahyarham sebaik yang kami mampu. Bagi pelajar-pelajar di perantauan, rakan-rakan dan pegawai-pegawai di MSD, JPA, MARA dan sebagainyalah merupakan ahli keluarga, ayah ibu, adik-beradik kami di sini.

Pada hari ini juga, kami berkesempatan menatap wajah allahyarham sebelum jasad allahyarham di embalm kan pada malam ini. MashaAllah, wajah allahyarham berseri-seri, dan seolah-olah sedang tidur nyenyak. Ya Allah yang maha pemurah, Engkau tempatkanlah roh Allahyarham di kalangan roh para anbiya wal mursaleen, wa saleheen, wa sadeqeen di syurga firdaus Mu yang tertinggi, Ya Allah. Ameen.

InshaAllah, sekiranya berkesempatan, saya akan mengemaskini perkembangan di sini. Namun sekiranya tidak, saya memohon maaf kerana pastinya kami akan sibuk pada hari esok untuk urusan memandi, mengafan dan menyolatkan jenazah.

Ya Allah yang maha penyayang, mudahkanlah urusan kami semua, dan mudahkanlah urusan pengebumian jenazah allahyarham Nublan.

Ya Allah yang maha pemurah, Kau tenangkanlah hati ibu dan ayah allahyarham, adik-beradiknya, rakan taulan, dan sesiapa sahaja yang mengenalinya.

Ameen, ya rabbal 'alameen.

Amar Razali
Maryville, TN
April 27 2009, 1:11am.

00:11 Posted in Journey | Permalink | Comments (3) | Email this

Comments

Al-Fatihah

Jenazah dikebumikan kt mne??

Posted by: shiedahkamil | Wednesday, May 27, 2009

terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kpd saudara Amar dan sahabat saudara di atas segala usaha menguruskan jenazah sepupu saya ini. saya baru sahaja pulang dari rumah ibubapanya, alhamdulillah mereka menerima ketentuan Allah ini dengan redha dan hati yang tenang. semoga urusan penerbangan balik jenazah berjalan lancar dan cepat. syukran jazilan ya akhy, jazakallahu khairan katheera.

Posted by: cyphuell | Wednesday, May 27, 2009

assalamualaikum....

hari ini jenazah arwah telah selamat sampai ke malaysia...
kira2 pada jam 11.50 am, jenazah arwah telah tibe di surau bersebelahan rumah allahyarham...
semua ahli keluarga, kekasih (fara), kenalan, guru2 dan mereka yang mengenali arwah telah hadir...begitu ramai orang yang menyayangi arwah dan ingin menatap wajah arwah utk kali terakhir...sehinggakan surau dan rumah arwah penuh dikerumuni mereka yang mengenali arwah...allahyarham disembahyangkan di surau tersebut...
saya sempat menatap wajah allahyarham utk kali terakhir...MasyaAllah...kebesaran allah...wajah arwah seolah olah tersenyum..arwah yang saya kenali..memang seorang yang sgt baik...

semoga rohnya dicucuri rahmat...amin...
al-fatihah...

Posted by: kenalan | Saturday, May 30, 2009

Post a comment