Saturday, November 14, 2009

Bersimpati

Hari ini terjadi suatu kejadian yang tidak diingini.

Petang tadi saya ke Alamanda Putrajaya untuk menemui seorang rakan atas sebab kerja. Kami bercadang untuk berjumpa sekitar jam 3:45 petang, tetapi disebabkan hujan lebat, rakan saya itu tiba dahulu daripada saya. Saya tiba sekitar jam 4:15pm. Selesai memakir kereta, saya bergegas menuju ke tempat yang telah kami persetujui untuk berjumpa - McDonald's.

Sudah menjadi kebiasaan pada hari Sabtu, begitu ramai pengunjung di Alamanda. Rakan saya yang tiba awal daripada saya itu berjaya mendapatkan meja makan di dalam McDonald's itu, berhampiran dengan pintu masuk franchise tersebut. Sebaik sahaja saya tiba, kami terus memulakan perbincangan dan diskusi. Kami tidak mahu melengahkan masa kerana ada beberapa perkara yang menjadi perhatian utama, tambahan pula masing-masing mempunyai komitmen yang lain pula pada sebelah malamnya. Justeru perbincangan perlu dibuat seefektif yang mungkin.

Perbincangan tersebut selesai kira-kira 15 minit kemudian. Ketika mengemas, tiba-tiba rakan saya itu terkejut dan bertanya kepada saya.

"Where is my handbag?"

Kehairanan, lantas saya bertanya kembali "I don't even know where you put your handbag."

"I put it on the chair next to me - very close to me."

Rakan saya cemas. Kami melihat-lihat kawasan bawah meja makan kami dan sekitarnya. Sah! Memang sah! Handbagnya dicuri orang. Setelah puas bertanya kepada pelanggan McDonald's di sekitar meja makan kami, kami bergegas ke kaunter informasi untuk membuat aduan. Sekuriti Alamanda meminta kami ke Balai Polis Putrajaya untuk membuat laporan polis, dan dengan laporan polis itu akan membolehkan siasatan lanjut dibuat seperti melihat CCTV dan sebagainya.

Kami ke Balai Polis Putrajaya untuk membuat laporan. Pegawai Penyiasat mengambil keterangan daripada kami, dan setelah selesai soal siasat kira-kira hampir 2 jam, kami kembali semula ke Alamanda Putrajaya untuk melihat CCTV dan juga melihat kawasan kejadian sebenar. Ketika kami dalam proses membuat laporan polis, pihak bank menghubungi rakan saya bagi memaklumkan proses transaksi yang meragukan. Belum sempat rakan saya menyekat kad kreditnya, beberapa transaksi sudahpun berlaku.

Rakaman daripada CCTV sungguh mengecewakan dan tidak banyak membantu. CCTV yang berada di hadapan McDonald's itu seringkali berpusing, dan apabila merakam ke kawasan meja makan kami, rakaman dihalang oleh cahaya lampu yang berhampiran, dan juga lambang trademark M yang melindungi kami.

Saya cukup bersimpati dengan apa yang menimpa kepada rakan saya itu. Yalah, saya cukup faham apa perasaan apabila kehilangan barangan berharga, lebih-lebih lagi dokumen yang penting. Saya berharap agar dia bersabar. Untuk kaum wanita, saya menyarankan agar anda meletakkan handbag anda di peha anda sendiri, jangan sesekali meletakkan di atas kerusi di sebelah anda.

"Ya Allah, lindungilah kami."

10:53 Posted in Journey | Permalink | Comments (0) | Email this

Post a comment