Monday, March 29, 2010

Tempat Jauh Lagi Dikenang..

As-salaamu'alaikum,

Saya berada di Kuala Terengganu sejak hari Sabtu baru-baru ini. Kepulangan ke Kuala Terengganu sememangnya merupakan suatu perkara yang telah lama saya nanti-nantikan; apa tidaknya, kali terakhir menjejakkan kaki di tempat saya membesar ini ialah kira-kira 4 bulan yang lalu semasa Hari Raya ‘Eid Adha, itupun tergesa-gesa lantaran pada hari raya yang kedua saya perlu bergegas ke Langkawi untuk menghadiri LIMA 2009. Pusara ayahanda juga sudah lama tidak dikunjungi.

Kuala Terengganu, sememangnya sudah banyak kali saya tekankan dalam tulisan saya sebelum ini, sememangnya sedang pesat membangun. Sudah banyak terdirinya bangunan dan rumah kedai di kawasan yang dahulunya hanyalah tanah lapang dan semak samun sahaja. Jalannya pula sudah semakin sesak dengan kenderaan yang menderum, menunjukkan betapa rakyat negeri ini sudah ramai yang mampu memiliki kereta. Alhamdulillah, shukur kepada Allah atas pembangunan dan kemajuan ini.

Sebaik tiba di Kuala Terengganu pada malam hari Sabtu, saya ke Restoran Nil di Pantai Batu Burok bersama-sama dengan mama untuk makan malam. Wah, Restoran Nil. Dahulunya sewaktu saya masih kecil, kami sekeluarga dan sanak saudara semuanya gemar menjamu selera di Restoran Nil. Masih ingat kegemaran Bangah akan udang celup tepung yang rangup itu. Almarhum papa suka akan nasi airnya. Susun atur kerusi, meja, perabot, sebenarnya masih banyak tidak berubah daripada dulu. Yang berubah ialah rasa masakan itu sendiri. Allahu’alam, mungkin restoran itu sudah berubah kepunyaan, atau tukang masak. Namun memori di Restoran Nil sewaktu zaman kanak-kanak tentunya mewarnai ingatan setiap kali menjamu selera di sana.

Kepulangan ke Kuala Terengganu kali ini sebenarnya ada sebabnya yang tersendiri. Selain kerinduan, pelbagai urusan penting perlu juga diselesaikan. Alhamdulillah, segala urusan telah ditunaikan walaupun ada ketikanya sedikit kalut apabila hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya pada tengah hari Ahad.

Rakan-rakat di pejabat mengirimkan keropok lekor dari Terengganu dan Keropok Lekor Pak Su di Losong seperti biasa menjadi pilihan. Sempat juga ke Chabang Tiga sebentar untuk makan nasi minyak di situ.

Ah, sedar tidak sedar hari ini sudah malam Isnin. Sebentar lagi berlepas pulang ke Kuala Lumpur, dan selepas itu bertolak pulang ke Melaka. Mudah-mudahan tiba di Melaka dengan selamat dan bertugas seperti biasa pada hari Selasa, inshaAllah. Sekali-sekala terasa ingin juga bekerja di Kuala Terengganu, haha. InshaAllah semoga dapat pulang lagi ke Kuala Terengganu.

9.20pm, 29 Mac 2010.
Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu

p/s: (Berdoa mudah-mudahan segala urusan itu dimudahkan oleh Allah, inshaAllah ameen).

Update: 1:20am – Selamat tiba di Melaka, Alhamdulillah..

13:00 Posted in Journey | Permalink | Comments (0) | Email this

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.