Thursday, April 15, 2010

Pengalaman Menjadi Auditor

Nota: Tulisan ini hanya akan merumuskan pengalaman saya pertama kali menjadi seorang auditor. Saya telah menandatangani NDA - justeru tiada sebarang findings/CAR yang akan saya kongsikan di sini.

As-salaamu'alaikum,

Saya ke Sirim Shah Alam untuk membuat 'maintenance audit' terhadap sebuah makmal pengujian bahan di sana. Saya bukanlah dari unit Supplier Quality Assurance di CTRM, tetapi saya ke sana atas kapasiti Testing Compliance & Quality Management System. Sebelum ini memang saya sudah beberapa kali diaudit, antaranya oleh NADCAP, AS EN, dan Standards Malaysia, tetapi menjadi seorang auditor memberikan saya suatu pengalaman yang unik dan berbeza.

CTRM Composites Testing Laboratory sedang dalam proses mendapatkan akreditasi ISO 17025, justeru perkara berkaitan audit, Corrective Action Request (CAR), Non Compliance Record (NCR), Preventive Action Request (PAR), sudah menjadi rutin harian. Sejak lewat tahun lepas, saya perlu memahami 25 dokumen ISO 17025 berkaitan kualiti sistem, yang merangkumi 'management requirements' dan 'technical requirements.'

Saya bertolak ke Shah Alam dari Melaka seawal jam 715 pagi dan tiba di Sirim sekitar jam 9 pagi.

Pengalaman pertama menjadi seorang auditor memang menarik. Pegawai Penyelidik di Sirim, mashaAllah, rata-rata sangat berpengalaman luas dalam bidang mereka dengan lebih 10 tahun pengalaman, juga berkelayakan tinggi. Hampir semua memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, dan tidak kurang yang memiliki Master dan Ph.D. Segan, ya, memang saya sangat segan dengan mereka - haha - reality check sebentar, pengalaman bekerja saya belum pun cukup 1 tahun dan saya sekadar memiliki ijazah.

Tetapi saya simpan rasa segan itu dalam-dalam di hati saya. Ah kalau mahu diikutkan segan, maka tak berjalanlah audit. Saya menghormati mereka, tetapi pada masa yang sama, mereka perlu membuktikan kepada saya bahawa mereka mempunyai kualiti pengurusan yang baik, sama ada dari segi proses mahupun sistem.

Audit bermula dari jam 9:45 pagi hingga 4:15 petang. Pada sebelah pagi saya lebih menilai sudut documentation, bagaimana mereka boleh membuktikan 'traceability' dalam proses ujian mereka, melaporkan ujian kepada pelanggan, dan sebagainya. Proses audit bermula dari menerima 'test samples', Acknowledgment Report, Purchase Order, Test Report, dan Evaluation Report. Saya memang sangat teliti - tetapi tidaklah sampai ke tahap cerewet. Apa yang tercatat dalam Work Procedure, Work Instruction, atau Work Sheet perlu diteliti dan diikuti satu persatu tanpa sebarang kompromi.

Pada sebelah petangnya, saya meniliti 2 jenis testing yang dijalankan - Differential Scanning Calorimetry (DSC) dan Fourier Transform Infrared (FT-IR) spectroscopy. Mesin yang mereka gunakan perlu juga diberi perhatian, siapakah pengeluarnya, bagaimana pula dengan prosedur calibration, siapa yang menjalankan calibration, adakah pihak yang membuat calibration itu diakreditasi, dan pelbagai lagi.

Sekitar jam 5 petang, diadakan sesi penutup - wrap up. Pada sesi tersebut, segala findings yang dijumpai akan diterangkan kepada mereka agar jelas aspek yang perlu dibetulkan segera sebelum audit yang seterusnya. Sesi wrap up berjalan sekitar 45 minit. Alhamdulillah, sekitar jam 6 petang saya bertolak pulang dan tiba di Melaka pada jam 8 malam.

Shukur alhamdulillah - selain mendapat pengalaman pertama menjadi auditor, saya juga mengambil peluang untuk mengenali para pegawai penyelidik di SIRIM. Tidak dapat dinafikan bahawa meraka sangat berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. InshaAllah, boleh dijadikan rujukan pada masa yang akan datang.

21:47 Posted in Journey | Permalink | Comments (1) | Email this

Comments

kau mesti teringat akukan amar masa gi SIRIM
hehe

Posted by: naser | Monday, April 26, 2010

Post a comment

NB: Comments are moderated on this weblog.